Karnival yang julung kali diadakan anjuran Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu merupakan peluang keemasan kepada golongan sasar memilih institusi yang sesuai dengan kecenderungan dan impian kerjaya masa depan.

Menurut Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd. Su’ud, karnival yang akan berlangsung hingga 21 April depan itu menyediakan 25,000 tempat untuk pelajar baharu menyambung pengajian masing-masing, tahun ini.

“Kita menyasarkan sekurang-kurangnya 250,000 pengunjung dari seluruh negara hadir pada karnival ini yang akan bermula di Kuala Lumpur dan berakhir di Perak.

“Sebanyak 10 institusi pengajian di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan terlibat dalam karnival ini bagi membantu memberi penerangan mengenai kursus yang ditawarkan,” katanya dalam sidang akhbar di Medan Mara, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Poly-Tech Mara, Nordin Ahmad dan Pengarah Mara Wilayah, Raja Sarimah Raja Jamaluddin.

Orang ramai yang ingin mengetahui lokasi-lokasi karnival tersebut boleh layari laman web Mara iaitu www.mara.gov.my. - UTUSAN ONLINE