Anugerah ini diilhamkan oleh Persatuan Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (Malaysian Society of Engineering and Technology atau MySET) untuk mengiktiraf pelajar terbaik keseluruhan Politeknik Malaysia dalam bidang kejuruteraan.

Anugerah ini telah disampaikan pada Persidangan Kejuruteraan dan Teknologi Kebangsaan 2017 dan Mesyuarat Agung Tahunan Myset Ke-10 baru-baru ini.

Kejayaan Mohamad Zainudin bermula pada Jun 2013 apabila memulakan pengajiannya di PMK. Anak keempat daripada lima adik beradik ini berasal Ulu Tiram, Johor Bahru ini mendapat tawaran mengikuti pengajian pada peringkat diploma dalam bidang kejuruteraan awam yang merupakan bidang yang diminatinya sejak di bangku sekolah lagi.

Aktif sejak zaman persekolahannya beliau terus terlibat dengan menyertai program yang dianjurkan IM4U dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS). Pada 2015 beliau telah terpilih bersama 44 pelajar lain dari seluruh Malaysia untuk mengikuti Misi YSS - Kempen Sukarelawan Musim Panas Hijau ASEAN 2015 di Vietnam selama sebulan.

Lebih 1,000 pelajar hadir ke temu duga untuk melaksanakan misi sukarelawan itu, namun nasib menyebelahi beliau yang berjaya terpilih untuk melaksanakan misi tersebut.

Misi sukarelawan ini merupakan titik permulaan beliau untuk bergiat dalam aktiviti pada peringkat antarabangsa sebelum menerima tawaran ke Laos dan Sabah pada 2016 yang dianjurkan oleh YSS.

Objektif misi ini adalah untuk melahirkan pemimpin pelajar pada peringkat global selain meningkatkan kemahiran insaniah pelajar kepada masyarakat.

Pada tahun yang sama, beliau sekali lagi dipilih untuk mengikuti Misi Sukarelawan yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan bawah program Mycorps selama tiga bulan di Kemboja.

Sepanjang 2016, beliau telah menghabiskan masa selama hampir enam bulan untuk berbakti kepada masyarakat dunia.

Walapun bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti, beliau tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai pelajar.

Ini terbukti kerana kecemerlanganya apabila berjaya menerima Anugerah Ketua Jabatan (CGPA 3.5 ke atas) pada setiap semester.

Pada Jun 2015 beliau di anugerahkan Tokoh Sukarelawan PMM pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar PMK.

Semasa berada pada tahun akhir, beliua telah merangkul juara keseluruhan projek Varotab dan memperoleh pingat emas.

Beliau juga aktif dalam bidang sukan kerana pernah mewakili PMK ke Sukan IPT Malaysia (SUKIPT) dalam acara Petanque pada 2014. Pada 2013 dan 2015, beliau mengikuti Kejohanan Petanque Piala KSU yang dianjurkan oleh Kolej Komuniti Malaysia selain mengikuti Kejohanan Petangue MSP.

Beliau menamatkan pengajian Diploma di PMK (CGPA 3.74) pada April 2016 sebelum menyambung pelajarannya ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada September 2016 dengan CPA 3.86.

Beliau telah terpilih untuk menjadi Duta Anak-Anak Johor (Duta Jauhar) program yang diilhamkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Pada April 2017, beliau terpilih untuk menyertai Program Transformasi Minda Nilai dan Fizikal yang dianjurkan oleh Maklum di Pulau Bidong Terengganu bersama pemimpin mahasiswa universiti awam.