Setakat ini, majoriti rakyat Malaysia sekurang-kurangnya telah menerima pendidikan sekolah rendah, namun tidak semua berjaya menamatkan persekolahan sehingga ke tingkatan lima.

Masalahnya, sekarang ini jika seseorang itu hanya memiliki kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), agak sukar untuknya me­ngubah taraf hidup keluarga ke­rana rata-rata mereka hanya mendapat pekerjaan dengan gaji yang rendah dan tidak mencukupi untuk menampung keperluan hidup di bandar.

Oleh itu, kempen ‘Satu Keluarga Satu Graduan’ telah diper­kenalkan sejak lama dahulu untuk memastikan setiap keluarga Malaysia sekurang-kurangnya mempu­nyai seorang graduan dari universiti mahupun institusi latihan kemahiran aras tinggi.

Kempen itu diwujudkan bagi mening­katkan kesedaran ma­syarakat tentang pentingnya me­lanjutkan pelajaran ke menara gading bukan sahaja untuk melahirkan golongan berilmu dan berkete­rampilan, tetapi juga dapat menjamin masa depan mereka.

Usaha yang sama juga dilakukan oleh Yayasan Uniti sejak 2010, namun terhenti seketika dan kini disambung kembali demi membantu masyarakat khususnya golongan asnaf keluar daripada kepompong kemiskinan.

Ketua Pegawai Eksekutif Ya­yasan Uniti, Dr. Syed Omar Syed Agil berkata, melahirkan graduan dalam sesebuah ke­­lu­arga adalah satu pendekatan paling ber­­kesan untuk membasmi kemiskinan da­lam jangka panjang.

Beliau berkata, se­telah bergelar gra­du­an, tentunya individu itu lebih mudah mencari pekerjaan dan dapat mem­bantu keluarga­nya. Apa yang penting usaha itu dapat membantu memastikan masalah kemiskinan tidak diwarisi oleh generasi sete­rusnya.

“Yayasan Uniti telah kembali aktif menggerakkan program ‘Sa­tu Keluarga Satu Graduan’ sejak dua tahun lalu.

“Buat permulaan, kami telah melaksanakan usaha itu di Ne­geri Sembilan dan akan dikembangkan ke negeri-negeri lain jika mempunyai dana mencukupi,” katanya.

Syed Omar berkata, Yayasan Uniti adalah badan bukan ber­asaskan keuntungan yang ditubuhkan oleh Kumpulan Pendidikan Uniti dan Kolej Uniti bagi membantu pelajar sekolah daripada keluarga asnaf dan kurang berkemampuan untuk meneruskan kecemerlangan dalam pendidikan.

Beliau berkata, untuk program ‘Satu Keluarga Satu Graduan’, pihaknya memilih pelajar asnaf dan kurang berkemampuan daripada setiap sekolah. Pelajar yang terlibat adalah daripada ting­katan empat dan lima.

Jelasnya, pelajar-pelajar yang layak tidak semestinya mereka yang cemerlang akademik kerana pemilihan juga dibuat dalam kalangan pelajar yang akademik­nya lemah atau sederhana te­tapi berpotensi untuk mem­pe­r­oleh ke­putusan yang baik.

Katanya, pelajar tersebut akan diberikan kursus bersesuaian sebelum mereka menduduki SPM agar mendapat keputusan cemerlang seperti mengajar keputusan teknik menjawab soalan secara lebih efektif, kursus kerjaya dan motivasi.

Tambah beliau, buat masa ini hampir semua yang dididik melalui program itu telah berjaya mendapat keputusan yang baik dan memasuki universiti awam.

“Kami sedar graduan juga a­kan berhadapan masalah untuk mendapatkan pekerjaan. Oleh itu, kami mempersiapkan mereka dengan minda keusahawanan melalui program ‘Satu Keluarga Satu Usahawan’.

“Melalui program itu, kami membimbing pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), graduan baharu dan golongan asnaf bagaimana ingin berjaya dalam perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, minda keusahawanan itu boleh diterapkan sejak di IPT lagi supaya apabila tamat pengajian, mereka tidak perlu berhadapan dengan masalah pengangguran.

Jelasnya, Yayasan Uniti akan bekerjasama dengan beberapa pihak lain untuk melatih usahawan baharu ini menceburi bidang perniagaan termasuk secara dalam talian.

Katanya, usaha itu bertepatan dengan tujuan asal penubuhan Ya­yasan Uniti yang ingin membantu meningkatkan tahap pendidikan dan membangunkan minda keusahawanan dalam diri pelajar.

“Apa yang kita harapkan, ma­syarakat dapat terus memberikan sumbangan bagi membantu golongan asnaf ini berjaya dalam hidup mereka di kemudian hari.

“Para penyumbang akan dapat melihat secara telus usaha-usaha yang telah dilakukan hasil sumbangan mereka dan setiap sumbangan yang diberikan itu juga akan dikecualikan daripada cukai pendapatan,” kata Syed Omar.