Yayasan yang telah ditubuhkan sejak 2002 itu telah memberi manfaat kepada lebih 10,000 pelajar menerusi program biasiswa yang bernilai RM330 juta.

Pengasas yang juga Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah berkata, penganugerahan biasiswa itu meliputi geran, dermasiswa, elaun sara hidup serta bantuan kewangan kepada pelajar.

Katanya, biasiswa tersebut membuka peluang kepada pelajar yang cemerlang merealisasikan impian untuk mendalami bidang pengajian yang diminati.

“Pihaknya turut membiayai yuran serta kos sara hidup pelajar terbabit sepanjang tempoh pengajian dan berharap pelajar yang menerima biasiswa ini akan mengambil peluang keemasan untuk menyerlahkan potensi diri dengan sepenuhnya demi kejayaan diri, keluarga dan negara dalam mengharungi persekitaran global yang semakin kompetitif dan mencabar.

“Kami percaya kejayaan masa depan negara bermula daripada pelaburan kita dalam pendidikan,” katanya.

Majlis penyerahan biasiswa itu telah disempurnakan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Jeffrey mengulas lanjut, negara memerlukan tenaga kerja berkebolehan tinggi dan berpelajaran untuk mencapai tahap negara berpendapatan tinggi.

“Pelajar yang menerima biasiswa ini perlu bertanggungjawab mencorakkan masa depan negara melalui ilmu pengetahuan yang tinggi, jati diri yang kukuh serta akhlak mulia.

“Kadangkala, potensi seseorang itu akan dapat diserlahkan apabila mereka diberi peluang. Dengan adanya peluang biasiswa ini, tidak mustahil generasi pelajar yang kita taja pada hari ini akan mencapai kejayaan yang mungkin kita sendiri tidak mampu capai pada ketika ini,” katanya.