Tok Dalang, Rahim Hamzah, 55, yang mengetuai kumpulan wayang kulit, Pawalit Hamzah dari Kampung Morak, Tumpat berkata, dia sangat menghargai pengalaman kali pertama bergabung dengan kumpulan kesenian Jepun dalam satu pertunjukan khas di Dewan Nurani Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini baru-baru ini.

Rahim yang juga anak kepada tokoh wayang kulit dan penerima Anugerah Seniman Negara, Allahyarham Hamzah Awang Hamat berkata, di sebalik perbezaannya, wayang kulit dan Bunraku adalah kesenian warisan yang mempunyai banyak cerita menarik untuk dipersembahkan.

“Dalam gabungan pertama ini, kami gunakan babak daripada cerita Bunraku Kehangatan Cinta Anak Pekebun Sayur yang mana watak utamanya ialah gadis bernama Osichi sedang bersedih kerana kekasihnya seorang pah­lawan samurai akan dihukum kerana kehilangan pedang.

“Patung gadis itu dikendalikan oleh pemain boneka dari Jepun manakala saya pula menggunakan tiga watak wa­yang kulit iaitu Hanuman, Pak Dogol dan Wak Long sambil diiringi alunan serunai, gendang dan gong serta alat muzik tradisional Jepun,” katanya.

Tambahnya, walaupun cerita ini sedih, tetapi diberi suntikan komedi melalui dialog dan aksi Pak Dogol dan Wak Long semasa berinteraksi dengan Osichi.

Persembahan julung kali me­­nggabungkan kesenian bo­neka tradisional Jepun dengan wa­yang kulit itu adalah anjuran bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Yayasan Jepun Kuala Lumpur.

Seramai hampir 400 penonton hadir pada persembahan tersebut.

Yang turut hadir Pengarah JKKN, Salehuddin Md. Salleh dan Ketua Jabatan Hal Ehwal Kesenian Yayasan Jepun Kuala Lumpur, Hiromi Ikeda.

Sementara itu Ikeda berkata, kesenian boneka Bunraku berasal dari Osaka dan mula dipentaskan lebih 350 tahun lalu.

Jelasnya, ia telah diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai sebahagian warisan kesenian dunia dan masih lagi aktif dipentaskan di Jepun, terutama dalam majlis keraian.

“Tahun ini adalah julung kali kita bawa pementasan Bunraku ke Kelantan selepas Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor, bermula 2013.

“Pementasan Bunraku adalah rangkuman aksi boneka yang digerakkan tiga pemain; penceritaan dan nyanyian daripada tukang cerita ‘tayu’ serta permainan muzik ‘shamisen’.

“Cerita dan drama banyak berkisar kehidupan feudal serta konflik cinta dan tanggungjawab sosial, malah terdapat 160 naskhah drama daripada 700 buah buku yang ditulis pada Zaman Edo (1603 hingga 1868) yang masih dipentaskan hingga ke hari ini,” katanya.