Program tahunan yang dianjurkan sepenuhnya oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni, UM ini bakal membuka tirainya pada 20 hingga 27 Oktober 2018. Menurut Penasihat FESKUM yang juga Penolong Pendaftar Kanan Hal Ehwal Pelajar UM, Rozaini Abdul Rahim, festival ini melibatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk siswa-siswi, pihak pengurusan serta masyarakat setempat.

“FESKUM adalah platform terbaik untuk meraikan graduan dan menunjukkan kemeriahan Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya itu sendiri dengan menganjurkan pelbagai aktiviti, program dan kempen yang menarik.

"Selain itu, festival ini juga bertujuan menggalakkan mahasiswa dalam mengaplikasikan unsur-unsur keusahawanan melalui penjualan pelbagai jenis produk dan perkhidmatan di gerai-gerai yang melibatkan badan pelajar berdaftar dan kolej-kolej kediaman.

"Secara tidak langsung ia juga dapat menambahkan pendapatan persatuan-persatuan dan kolej-kolej kediaman yang terlibat,” jelas Rozaini.

Pengarah FESKUM, Nur Zulhafizah Zakaria, 25, pula memberitahu pemilihan tema FESKUM 2018 iaitu “Warna-warni Kehidupan Kampus” (Varsity Colours’ of Life) sangat tepat kerana FESKUM kali ini cuba mengetengahkan kepelbagaian latar belakang mahasiswa dan aktiviti kampus yang mewarnai kehidupan warga UM.

“Persiapan bagi menjayakan FESKUM 2018 berjalan lancar, saya berharap masyarakat awam dapat meluangkan masa bagi mengunjungi gerai-gerai yang dibuka dan mendekati warga UM yang terdiri daripada para pelajar dan kakitangan universiti ini. Pendekatan ini secara tidak langsung dapat mendekatkan warga UM dan masyarakat awam mengenali UM secara lebih dekat,” jelas Nur Zulhafizah yang merupakan pelajar tahun empat, Fakulti Pendidikan, UM.

Sementara itu, Setiausaha FESKUM 2018, Michelle Chin Loke Ee berkata, Festival ini mempunyai empat program utama iaitu “UMAYESCAPE”, Malam Kerohanian Islam 2018, Panda Run dan E-Sport. “Keempat-empat program ini merupakan program utama yang telah dirancang sejak lima bulan yang lalu, ia mempunyai sasaran audien yang tersendiri kerana kami menyedari warga UM dan penduduk di sekitar universiti ini mempunyai latar budaya yang pelbagai dan minat masing-masing.

Selain menggalakkan penyertaan semua lapisan masyarakat, setiap program yang dirancang mempunyai matlamat yang tersendiri. “Sebagai contoh, UMAYESCAPE menawarkan aktiviti yang bakal mencabar mental para pengunjung yang menyertai aktiviti disediakan. Bagi yang suka bersukan dan aktiviti fizikal, Panda Run dan E-Sport merupakan program yang wajar disertai oleh mereka, begitu juga dengan Malam Kerohanian Islam 2018 merupakan satu program yang sangat bermanfaat kepada penganut beragama Islam,” jelas Michelle yang merupakan pelajar tahun empat, Fakulti Alam Bina, UM.

Program Utama FESKUM 2018

UMAYESCAPE merupakan sebuah program yang dinanti-nantikan para pelajar di UM. Program ini mendapat sambutan yang hangat sepanjang dua siri FESKUM sebelum ini. Kali ini,“UMAYESCAPE” kembali dengan tema dan konsep yang agak berbeza iaitu “UMAYESCAPE: HOUSE OF HAUNTED SOULS.”

Program yang berlangsung selama tujuh hari bermula pada 20 hingga 27 Oktober 2018 menawarkan pelbagai aktiviti yang bertemakan haunted house dan escape room. Aktiviti yang akan berlangsung di Kompleks Perdana Siswa, UM ini bakal menyaksikan 200 penyertaan terdiri daripada mahasiswa dan alumni UM.

Para pengunjung yang menyertai “UMAYSCAPE”bukan sahaja dapat menguji keberanian mereka, malah dapat mengasah minda untuk berfikiran dengan lebih kritikal, inovatif dan kreatif dalam menyelesaikan pelbagai masalah berdasarkan aktiviti yang dijalankan. Pada masa yang sama, para pengunjung dapat meningkatkan keberanian dalam diri mereka untuk mengharungi pelbagai cabaran yang telah direka dalam aktiviti tersebut.

Malam Kerohanian Islam

Program ini anjuran Sekretariat FESKUM 2018 berkonsepkan “Hijrah Pemakaian dan Pemikiran”. Program ini memberi penekanan ilmiah untuk memberi kefahaman kepada para pengunjung FESKUM 2018 tentang cara hidup Islam dalam pelbagai aspek.

"Antara aktiviti yang diadakan ialah Pameran Interaktif Hijab Street yang bakal berlangsung selama tiga hari dan menekankan pemakaian tudung mengikut syarak dengan tema “Labuh Tetap Cantik”.

Pada malam kemuncak pada 25 Oktober 2018, akan berlangsung pula forum bertajuk “Ancaman Liberalisme”. Program ini merupakan kerjasama Sekretariat FESKUM 2018 dengan Muslim Volunteer Malaysia (MVM). Matlamat penganjuran program ini ialah bagi mendedahkan dunia kesukarelawanan kepada mahasiswa UM. Kumpulan nasyid, Hijjaz dijadualkan membuat persembahan pada malam tersebut.

Larian Panda

Panda Run atau Larian Panda yang akan berlangsung pada 13 Oktober 2018 ini ialah sebuah program larian yang berkonsepkan ‘fun run’. Program ini dianjurkan oleh Sekretariat FESKUM 2018 dengan kerjasama BTM Event Sdn. Bhd. Tujuan Panda Run dianjurkan adalah untuk memberi dan meningkatkan kesedaran kepada orang awam tentang kepentingan haiwan liar khususnya Panda yang semakin pupus.

Di samping itu, program larian ini juga diharapkan dapat mewujudkan masyarakat yang gemar bersukan selaras dengan Dasar Sukan Negara. Beruang Panda dipilih sebagai nama larian ini kerana ia merupakan haiwan yang terancam dan bilangannya yang semakin berkurangan. Menurut World Wildlife Fund pada tahun 2014, jumlah beruang Panda liar adalah sebanyak 1,864 ekor di seluruh dunia.

E-Sports

E-Sports merupakan sebuah program yang menyediakan ruang kepada para pengunjung FESKUM 2018 untuk beriadah melalui permainan video atau e-sukan. Aktiviti ini mampu memberi pendedahan kepada para pelajar dan orang awam tentang program-program berbentuk e-sukan. Acara kemuncak E-sport ialah pertandingan FIFA dan pameran Virtual Reality (VR) dan racing simulator. Program ini akan berlangsung bermula 20 hingga 24 Oktober 2018. Program E-sport dianjurkan dengan kerjasama Game Addict.