Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah berkata, universiti mampu mewujudkan interaksi secara langsung antara pelajar di bangku sekolah de­ngan kelompok cerdik pandai melalui program kemasyarakatan yang dilaksanakan.

“Bagi mahasiswa yang berada di menara gading, ilmu yang ada pada diri mereka harus dikongsi dan dimanfaatkan oleh masyarakat khususnya dengan mereka menjadi pembimbing dan motivator yang memberi semangat kepada pelajar-pelajar supaya mengikut jejak langkah anda memasuki universiti.

“Melalui program khidmat masyarakat, mahasiswa juga mendapat latihan dan berupaya memperhebatkan daya kepimpinan, komunikasi dan kemahiran sosial. Yang lebih penting dapat mempertajamkan diri sendiri sebagai ilmuan berwibawa serta individu yang matang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Program Fingertips 2017 Communication English 2 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senaling di sini kelmarin.

Program itu adalah anjuran bersama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Yayasan Pembangunan Masyarakat Malaysia (YPMM).

Dalam pada itu, beliau menasihatkan golongan pelajar supaya memanfaatkan peluang untuk menuntut ilmu dan seterusnya mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran.

“Dengan pencapaian yang cemerlang itu barulah anda akan dipilih memasuki mana-mana pusat pengajian tinggi yang berwibawa sama ada di dalam ne­geri atau di luar negara. Dalam zaman digital dan globalisasi, memiliki segulung ijazah itu penting kerana ia merupakan prasyarat atau pasport untuk membolehkan kita mendapatkan kerja yang baik bagi menjamin masa depan,” katanya.

Beliau mengingatkan para pelajar supaya tidak mensia-siakan peluang semasa berada di peringkat menengah ini dengan melakukan perkara yang boleh menjejaskan masa depan.

“Bayangkan diri kita seperti pokok buah-buahan yang perlu dibaja, disiram dan dipagar supaya tidak dirosakkan oleh bina­tang buas. Apabila pokok itu besar ia akan mengeluarkan buah-buah­an yang banyak,” katanya.

“Begitulah sepatutnya pelajar-pelajar menjaga diri sendiri. Jadikan diri sebagai pelajar yang baik, bersungguh-sungguh, berdisiplin, hormat guru dan ibu bapa serta yang penting taat kepada Allah,” katanya.