MOHAMED MUSTAFA ISHAK
 

Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak (gambar) berkata, peng­ambilali­han itu adalah kerjasama strategik an­tara UUM dengan Tele­kom Malaysia (TM) dan pihak pengurusan Menara Alor Setar dengan memulakan operasi bersempena dengan sambutan bulan Ramadan.

Menurutnya, restoran tersebut yang juga dikenali sebagai Sky Restaurant memulakan operasi pada Ahad lalu, menyediakan hidangan berkonsepkan Warisan Sintok untuk juadah berbuka puasa dengan 100 hidangan ala kampung dan masakan barat untuk pelanggan di restoran itu.

“Pelanggan yang memilih untuk berbuka puasa di restoran ini boleh menikmati hidangan istimewa seperti kambing golek termasuk 100 menu lain dengan kadar harga RM66 sahaja bagi dewasa manakala RM46 bagi kanak-kanak.

“Ini merupakan usaha awal kami untuk mempromosikan Menara Alor Setar seterusnya memperkenalkan produk UUM kepada orang ramai khususnya di dalam cabang perniagaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Berbuka Puasa di Sky Restaurant, Menara Alor Setar, di sini semalam.

Mohamed Mustafa berkata, bagi orang ramai yang inginkan kelainan, pihak pengurusan restoran itu mempelawa orang ramai untuk mengadakan majlis perkahwinan, sambutan hari jadi dan majlis lain di samping menikmati pemandangan bandar raya Alor Setar dari ketinggian 94 meter di atas paras laut.

Beliau berkata, perniagaan tersebut dijangka membuahkan hasil apabila penganjuran program, seminar dan kursus diadakan dengan kerjasama yang melibatkan kerjasama 3,000 kakitangan universiti awam itu.

“Kita akan menggunakan menara ini sepenuhnya berikutan UUM mempunyai 3,000 kakitangan termasuk 1,200 kakitangan akademik dan pensyarah yang boleh menjalankan pelbagai program di sini dalam memastikan ia dapat menarik lebih ramai pe­ngunjung,” katanya.