Persidangan anjuran Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), UUM yang menggabungkan tenaga kerja dan kepakaran daripada tiga organisasi itu diadakan bagi memberi pendedahan berkaitan isu koreksional dan keadilan jenayah serta menyalurkan maklumat mengenai isu jenayah, pemulihan dan pembangunan ko­muniti dalam meningkatkan kesejahteraan negara.

Seramai 500 peserta telah menjayakan persidangan berte­makan Transforming Correctional, Rehabilitation and Crime Policies Towards Human Well-Being itu yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan 1 merangkap Pengerusi MCPF Negeri Kedah, Datuk Othman Aziz.

Menurut Othman, persidangan itu menjadi wacana perbincangan dan perkongsian ilmu dalam menyumbang dan menyokong usaha pihak polis dalam membanteras dan mencegah jenayah.

“Persidangan ini memberi ruang kepada pelbagai pihak ber­kaitan untuk melihat isu pencegahan jenayah dan koreksional me­­lalui pendekatan ilmiah de­ngan pembentangan kertas kerja merangkumi isu-isu seperti pe­nyalahgunaan dadah, bahan terlarang, jenayah dan kriminologi serta intervensi dan rehabilitasi.

“Maklumat-maklumat baharu yang dibentangkan dalam persidangan ini akan memberi manfaat dan panduan kepada semua pihak dalam merancang program untuk kumpulan sasar, sama ada di peringkat sekolah mahupun di peringkat masyarakat dalam daerah masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM, Prof. Dr. Hassan Ali berkata, kerjasama antara SAPSP, PDRM dan MCPF dapat menjadi platform terbaik dalam menghimpunkan pelbagai agensi dan institusi untuk menjana idea, menyokong serta menggembleng tenaga ke arah mentransformasi ke­sejahteraan rakyat.

“Peranan universiti sebagai gedung ilmu yang melahirkan modal insan akan menjadi lebih mantap melalui penganjuran persidangan sebegini yang menjadi medan percambahan ilmu dan perkongsian pengalaman antara pensyarah dengan pelbagai kakitangan agensi luar dalam memastikan matlamat mentransformasi kesejahteraan rakyat tercapai,” kata Hassan.

Seramai 66 ahli akademik, pegawai-pegawai daripada PDRM dan agensi berkaitan telah membentangkan kertas kerja pada CCCJ 2017 yang antara lain membincangkan mengenai polisi dan perundangan, keselamatan negara, terorisme, keselamatan siber, koreksional dan sistem pemulihan, kaunseling koreksional, intervensi, tingkah laku delinkuan dan keganasan rumahtangga.

Persidangan itu dimulakan de­ngan ucap utama daripada Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff dan diteruskan dengan sesi forum.

Hadir sama Dekan SAPSP, Prof. Madya Dr. Noor Azniza Ishak; Timbalan Pengerusi MCPF, Datuk Kamarudin Md. Ali; Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Kedah, Mahadzir Elias; Ketua-ketua Cawangan, Ketua-ketua Balai, AADK Negeri Kedah, AKRAB PDRM Kedah, PDRM, pegawai-pegawai Penjara, guru-guru sekolah serta pensyarah-pensyarah UUM.