Naib Presiden Wilayah Asia Pacific Halliburton, Rao Abdullah berkata, geran tersebut membolehkan pelajar UTP mengakses perisian terkini dalam bidang geosains, kejuruteraan dan analisis bagi membolehkan mereka memperoleh latihan secara praktikal.

Menurut beliau, geran di bawah Program Geran Perisian Universiti Halliburton itu turut menyediakan bantuan sama kepada 200 universiti di seluruh dunia bagi menyokong penyelidikan dan pembelajaran, selain membentuk hubungan strategik dalam bidang akademik.

“Perisian disediakan HalliburtonLandmark terdiri daripada sejumlah program yang membenarkan pelajar menggunakan prinsip saintifik dan teori dalam senario sebenar.

“Dalam menggabungkan tek­nologi ini dalam kurikulum mereka, pelajar akan memahami program yang dapat membantu jurutera mengesan, mengeluar serta menghasilkan minyak dan gas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berbangga menyediakan bantuan sokongan kepada pelajar dan UTP dari segi peluang meningkatkan pengalaman dan melatih jurutera minyak dan gas muda.

“Kami komited dalam membantu mereka berjaya dan berharap geran ini dapat menyediakan pengalaman pendidikan ketika menggunakan perisian yang turut digunakan oleh majikan dan pelanggan di seluruh dunia,” ujarnya.

Dalam pada itu Naib Canselor UTP, Datuk Ir. Dr. Abdul Rahim Hashim berkata, pihaknya berbangga kerana universiti tersebut terpilih menerima perisian dan le­sen daripada Halliburton.

“Geran ini bukan sahaja akan menyediakan kemahiran teknikal dan pengetahuan terkini untuk pelajar dalam bidang pilihan mereka tetapi juga sumber kerja yang diperlukan industri,” katanya.