Dalam majlis itu, 96 graduan dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 110 menerima Ijazah Sarjana dan 1,044 lagi memperoleh Ijazah Sarjana Muda bidang sains, kejuruteraan dan teknologi.

Penganugerahan disempurnakan Pro Canselor UTP, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Pro Canselor UTP, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Yang turut hadir Naib Canselor UTP, Datuk Ir. (Dr.) Abdul Rahim Hashim.

Dalam ucapannya, Abdul Rahim berkata, UTP berbangga dengan kejayaan hampir 90 peratus graduannya berjaya mendapatkan pekerjaan dalam tempoh enam bulan menamatkan pengajian.

Menurutnya, misi UTP untuk me­lahirkan graduan serba boleh menjadi pemangkin kepada kebolehpasaran graduan dari universiti itu.

“UTP bukan sahaja memberi penekanan terhadap keupayaan teknikal tetapi juga ciri-ciri lain seperti kemahiran berfikir secara kritis dan kemahiran berkomunikasi,” katanya.

Kata Abdul Rahim, walaupun baharu berusia 20 tahun, UTP melakar pelbagai sejarah tersendiri dengan membuktikan ia mampu bersaing dengan universiti lain di dunia.

Menurutnya, UTP meneruskan kecemerlangannya di peringkat nasional dan antarabangsa bagi tahun 2017 apabila tersenarai dalam Times Higher Education Young University Ranking pada kedudukan 150 hingga 200.

Katanya, pengiktirafan itu membawa maksud UTP antara 200 universiti terbaik dunia yang berusia kurang dari 50 tahun.

“Dalam Times Higher Education Asia-Pacific University Ranking, UTP berada pada kedudukan antara 131 dan 140 universiti di Asia Tenggara.

“UTP juga disenarai pada ke­du­dukan 601 hingga 650 dalam ran­king universiti dunia yang mana daripada 26,000 universiti di seluruh dunia, UTP berada dalam lingkungan 2.3 peratus universiti terbaik dunia,” katanya.