Mana tidaknya, kesemua ilmu yang dipelajari dari sesebuah universiti itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperoleh kerjaya yang baik sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi.

Tokoh-tokoh ternama yang lahir dari pelbagai universiti dalam dan luar negara tidak seharusnya dilupakan sebagai alumni universiti berkenaan.

Tidak mahu kejayaan alumninya hilang ditelan peredaran zaman, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengambil inisiatif mengumpul segala kenangan alumni terlibat untuk dijadikan inspirasi kepada pelajarnya.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, UTM, Prof. Dr. Durrishah Idrus, sebuah kapsul yang mengandungi buku memoir alumni UTM telah ditanam di dalam sebuah cermin kaca di Lobi Menara Razak, UTM KL baru-baru ini.

Kapsul ini mengandungi buku memoir kumpulan ini iaitu The Techs - Remembering The Golden Era - Technical College Kuala Lumpur 1940-1970 yang dihasilkan pada 2018, TECHS Annual, Engineering Journal dan TECHS Mirror.

Buku The Techs - Remembering The Golden Era - Technical College Kuala Lumpur 1940-197 setebal 280 muka surat adalah hasil usaha mendiang Ng Chau Chen (Graduan sivil 1965) yang berusaha mengumpul semua bahan daripada rakan-rakan beliau.

“Tujuan penanaman kapsul masa ini adalah untuk merealisasikan hasrat alumni UTM yang merupakan graduan Maktab Teknik Kuala Lumpur yang lahir dalam garis masa sebelum wujudnya UTM, menyimpan kisah kejayaan mereka.

“Kisah kejayaan mereka boleh dijadikan inspirasi atau contoh kepada generasi baharu UTM mengenai usaha gigih yang dilakukan dalam pelbagai bidang untuk pembangunan negara,” katanya.

Mengulas lanjut, alumni UTM-TECHS merupakan insan terpilih yang memasuki Maktab Teknik Kuala Lumpur dalam pelbagai bidang utama kejuruteraan dan terlibat secara langsung dalam projek pembangunan dan pembinaan pelbagai bangunan kerajaan.

“Sekolah, kem tentera, lapangan terbang, pelabuhan, jambatan, empangan dan takungan air, pembinaan Stadium Bukit Jalil, Lebuhraya Karak, Projek Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Timur-Barat dan lapangan terbang antara contoh sumbangan mereka.

“Mereka memegang pelbagai jawatan penting sama ada dalam sektor kerajaan terutama Jabatan Kerja Raya atau swasta seperti IJM Corporation Group,” katanya.

Tambah beliau, majlis penanaman kapsul itu bukan sahaja bertujuan menghargai alumni UTM, malah turut bertujuan mendorong pelajar menjadikan kejayaan mereka sebagai pembakar semangat untuk mengecapi kegemilangan.

“Hal ini amat penting kerana ia dapat membantu dalam apa jua keadaan, ketika susah dan senang. Jika dilihat kepada pengalaman Alumni –Techs ini, mereka banyak bekerjasama dan membantu meningkatkan ekonomi sesama mereka.

“Malah, penanaman kapsul masa ini juga dapat mempeluaskan jaringan antara alumni dengan pihak univerisiti sekali gus mewujudkan hubungan silaturahim yang erat,” katanya.