Keyakinan itu disua­rakan Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Ir. Wahid Omar (gambar) yang memberitahu, sasaran tersebut mampu dicapai sebagaimana yang telah digariskan dalam Pelan Global Universiti 2012-2020.

Beliau berkata, pelan berkenaan yang bakal memasuki fasa terakhir pelaksana­annya bermula tahun de­pan sehingga 2020 itu, aspek kelestarian institusi menjadi fokus utama supaya universiti dapat ‘dihidupkan’ bukan sahaja melalui pengajaran dan pembe­lajaran tetapi memperkasakan elemen-elemen yang menyokong keutuhan universiti.

“2017 merupakan tahun terakhir dalam fasa kedua pelaksana­an Pelan Global Universiti dan ia bergerak mengikut perancang­annya dalam persediaan untuk menjadi universiti 50 terbaik dunia.

“Kita yakin mampu mencapai status tersebut malah lebih baik daripada apa yang disa­sarkan walaupun pada masa ini kita berada pada kedudukan ke-90 dan dalam kelompok 25 universiti terbaik dunia bagi universiti berusia 50 tahun ke bawah mengikut penarafan QS World Ranking,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Menurut Wahid, universiti menggariskan empat elemen untuk difokuskan dalam pelan tersebut iaitu pembangunan masyarakat universiti sebagai penggerak kelestarian institusi, memperkemaskan sistem tadbir urus yang baik, kelestarian kewangan serta kerelevanan universiti melalui reputasi cemerlang.

Katanya, sebagai sebuah universiti penyelidikan negara, UTM mempunyai kuasa autonomi untuk menguruskan sistem pentadbirannya, dan universiti perlu menggunakan sepenuhnya peluang ini bagi memperkasakan institusi dan berupaya berkembang tanpa terlalu bergantung kepada sumber kewangan daripada kerajaan.

Beliau berkata, elemen-elemen berkenaan akan melengkapkan agenda terdahulu dalam pelan itu yang turut memberikan penekanan tentang aspek pendidikan fleksibel pada era Revolusi Industri Keempat, mobiliti pelajar dan sistem penyampaian berkesan selari dengan matlamat kerajaan untuk membentuk semula sektor pengajian tinggi negara.

“Dalam bidang penyelidikan, kita juga akan memastikan para penyelidik melakukan penyelidikan mengikut keperluan industri serta mempunyai impak kepada negara dan bukannya bersifat ‘syok sendiri’. Untuk itu kita turut melatih pasukan penyelidik untuk memperkasakan mereka supaya terlibat secara terus dalam lapangan.

“Jadi bermula tahun depan, kita mahu mula bergerak ke arah kelestarian institusi. UTM perlu menjadi sebuah universiti yang terus relevan untuk memastikan kelangsungannya di peringkat nasional dan global,” katanya.

Mengulas lanjut, Wahid memberitahu, Pelan Global Universiti Fasa Kedua (2015-2017) telah menetapkan tujuh bidang tumpuan utama (KFA) iaitu melibatkan kecemerlangan pembelajaran dan pengajaran; kecemerlangan penyelidikan; inovasi dan komersialisasi; kampus lestari, infrastruktur, sistem teknologi maklumat dan penglibatan sama komuniti dan jaringan industri.

Selain itu, katanya, KFA tersebut ialah sistem penyampaian berprestasi tinggi, kelestarian kewangan, pengalaman kampus menyeluruh dan reputasi global.