Pensyarah Kanannya, Dr. Alice Sabrina Ismail berkata, usaha tersebut penting bagi memastikan identiti dan seni bina warisan tempatan terus terpelihara dan dapat dikekalkan untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Menurutnya, hingga kini Kalam telah mendokumentasikan kira-kira 400 bangunan seni bina warisan dari negara ini dan Indonesia sejak usaha tersebut dimulakan pada tahun 1970-an.

“Kita berharap selepas ini akan mendapat kerjasama daripada universiti di Thailand untuk sama-sama mendokumentasikan bangunan warisan yang terdapat di negara berkenaan,” katanya selepas menghadiri Bengkel Kerjasama Senibina Antarabangsa di sini semalam.

Program sehari itu disertai 30 penuntut UTM dan 27 mahasiswa Fakulti Senibina, Rajamangala University of Technology Thanyaburi (RMUTT) dan Fakulti Senibina daripada Rangsit University, Thailand.

Yang turut hadir, Timbalan Dekan Fakulti Alam Bina UTM, Prof. Madya Dr. Mahmud Mohd. Jusan dan Timbalan Dekan Fakulti Senibina RMUTT, Prof. Madya Dr. Nattakrist Supakornpinthakoopt.

Alice berkata, kerja-kerja mendokumentasikan itu melibatkan lukisan pelan asal bangunan, sejarah dan latar belakang bangunan serta pemiliknya serta model binaan bangunan berkenaan.

Antara bangunan warisan yang telah didokumentasikan Kalam termasuk Masjid Sultan Abu Bakar, rumah Minangkabau, bangunan kolonial, istana diraja serta makam dan kubu-kubu peninggalan.