Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Utem, Prof. Datuk Dr. Izaidin Abdul Majid berkata, kejayaan itu merupakan pengiktirafan tertinggi atas kecemerlangan Utem dalam menyertai pelbagai program dan aktiviti kesenian yang dianjurkan Makum sepanjang 2017.

“Universiti ini lebih memberi tumpuan dalam pendidikan teknikal, teknologi kejuruteraan dan pengurusan teknologi dan keusahawanan. Namun UTeM sentiasa terbuka menyediakan peluang kepada pelajarnya untuk terlibat dalam bidang seni dan budaya.

“Kami amat menyokong penglibatan pelajar dalam bidang seni.

“Mereka telah membuktikan kejayaan demi kejayaan dan akhirnya mereka telah membuktikan apabila menjadi juara pertandingan orkestra, juara sayembara puisi kemerdekaan peringkat Institusi Pengajian Tinggi Negeri Melaka 2017 dan menjuarai pertandingan Pidato Antarabangsa Piala Perdana Menteri,” katanya.

Majlis penyampaian anugerah itu telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Nik Ali Mat Yunus.

Pada majlis itu, Utem menerima Anugerah Kategori Bonang Emas (kategori lelaki) yang telah dimenangi Mohd. Azamuddin Alidari dari Fakulti Kejuruteraan Elektik, Anugerah Kategori Bonang Emas (kategori wanita) dimenangi Nurdiyana Deris dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Selain itu, Anugerah Gambang Mustika (Persatuan Seni Terbaik) yang dianugerahkan kepada Kelab Kasawari Utem dan Anugerah Gong Kencana yang telah dimenangi Pegawai Kebudayaan Utem, Shahrulfadli Yahaya atas pencapaian beliau sebagai pegawai yang cemerlang dalam seni dan budaya Utem.