Jumlah pelajar yang mendaftar bagi sesi kemasukan kali ini meningkat berbanding sesi lepas dengan sejumlah 2,645 surat tawaran dikeluarkan dan seramai 2,209 orang pelajar mendaftar masuk berbanding 1,948 orang pelajar pada sesi lalu.

Sesi pendaftaran bermula pukul 8 pagi hingga 4.30 petang mencatat rekod baharu Utem dengan kejayaan dari segi pengurusan pendaftaran apabila purata pendaftaran bagi seorang pelajar hanya mengambil masa kira-kira lima minit sahaja.

Naib Canselor Utem, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) telah mengungguli jumlah kemasukan pelajar dengan jumlah 678 orang pelajar berbanding enam fakulti lain.

“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan selepas pendaftaran hari pertama, Utem yang merupakan universiti teknikal berprestij di negara ini terus menjadi pilihan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan dan teknologi kejuruteraan.

“Selain itu, bidang teknologi maklumat komunikasi serta pengurusan teknologi yang berkaitan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) menjadi pilihan semasa pelajar bagi melanjutkan pengajian,” katanya ketika diminta mengulas kemasukan pelajar sesi ini.

Majlis perasmian Minggu Haluan Siswa diadakan pada 7 September lalu disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Rawi Mahmud.

Menurut Shahrin, sesi 2017/2018 masih didominasi oleh pelajar lelaki dengan rekod kemasukan hari pertama seramai 1,269 orang bagi kesemua tujuh fakulti berbanding pelajar perempuan seramai 940 orang.

“Peratusan wanita dalam bidang teknikal, teknologi keusahawanan dan juga bidang TVET meningkat dari tahun sebelumnya, membuktikan bahawa tiada lagi jurang antara jantina dalam bidang yang dinyatakan,” jelasnya.

Para pelajar yang mendaftar melalui Minggu Haluan Siswa bermula dari 4 hingga 8 September dan diuruskan oleh kakitangan hal ehwal pelajar dan fasilitator yang terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar Utem bertujuan untuk mengenali Utem dengan lebih lanjut.

Antara aktiviti yang dijalankan adalah Jelajah Kampus, Sesi bersama Menteri Mentor Utem, Sesi bersama Pengurusan Tertinggi Utem dan pelbagai taklimat dari agensi seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).

Bagi kemasukan pelajar rayuan, pendaftaran pelajar telah dijalankan pada 18 September lalu bertempat di Bahagian Pengurusan Akademik Utem, Bangunan Canselori Utem, Durian Tunggal.

Pelajar yang membuat rayuan boleh menyemak status rayuan mereka di laman web Utem ataupun melalui laman web UPU.

Alumni Sekolah

019-333 4355

Pembaca dipelawa menghantar berita dan foto tentang aktiviti alumni sekolah ke ruangan Alumni Sekolah. Hantar melalui e-mel [email protected] atau alamatkan kepada: Ruangan Alumni Sekolah, Utusan Melayu (M) Berhad, No 44, Jalan Utusan, Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 
Kuala Lumpur.

http://www.tutor.com.my/alumnisekolah