Menurut Naib Canselor Utem, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib, kerjasama bersama pihak CTRM, syarikat pembuatan aeroangkasa yang ternama di negara ini khususnya di Melaka telah terjalin sekian lama dan dieratkan lagi dengan MoA terbaharu ini.

Beliau berkata, bidang aeroangkasa dan bidang minyak dan gas berpotensi tinggi serta mampu memberi impak hebat kepada sektor perindustrian negara pada masa hadapan.

Justeru, dalam usaha menyokong hasrat ini Utem turut merangka penawaran program baharu dalam bidang pembuatan aeroangkasa dan bidang minyak dan gas serta memantapkan perancangan penyelidikan secara ‘Triple Helix’ melalui Pusat Penyelidikan Kecemerlangan (CoE) dan kolaborasi industri.

“Utem melalui kumpulan penyelidik berpengalaman iaitu Dr. Zurina Shamsudin, Dr. Zaleha Mustafa dan Prof Madya Dr. Azizah Shaban bawah Pusat Kecemerlangan Pembuatan Termaju (AMC) dan Fakulti Kejuruteraan Pembuatan akan memfokuskan kepada beberapa aspek.

“Antaranya adalah pembangunan menukarkan sisa bahan gentian karbon dan sisa bahan komposit kepada pelbagai bentuk bahan tetulang, gentian karbon berbentuk tikar (mat) yang berkekuatan tinggi serta penghasilan bahan komposit berasaskan kepada rCF,” katanya.

Shahrin menghadiri majlis pertukaran MoA disaksikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan timbalannya, Datuk Ahmad Maslan bersama CTRM, ANM dan USM di Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA‘17) yang berlangsung di Langkawi, Kedah baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Utem, Prof. Datuk Dr. Mohd. Razali Muhamad dan penyelidik rCF dari Fakulti Kejuruteraan Pembuatan Utem, Dr. Zaleha Mustafa.

Sementara itu, Zurina berkata, kerjasama ini adalah sejajar dengan bidang tujahan Utem sendiri iaitu Sustainable Manufacturing Technology (SMT) dan ia dilihat berpotensi untuk menambah nilai bahan sisa komposit dan mampu diaplikasikan di dalam beberapa bidang industri penting negara seperti industri automotif, pembungkusan elektronik dan bahan pembinaan bangunan.

Katanya, dianggarkan sebanyak 300 tan sisa komposit dijanakan bagi tempoh setahun oleh industri pembuatan komponen kapal terbang, CTRM yang mana buat masa ini dilupuskan di tapak pelupusan.

Untuk itu beliau berkata, projek ini dilihat sebagai salah satu usaha universiti untuk merealisasikan agenda kelestarian negeri Melaka dan dapat membantu mengurangkan impak kepada alam sekitar.

Projek ini dirangka secara terperinci dan akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh tiga tahun. Projek ini juga akan bekerja secara dekat dengan rakan-rakan penyelidikan yang lain di ANM dan USM dan dijangka akan menawarkan peluang penyelidikan pada peringkat sarjana dan doktor falsafah (Phd).

Dekan Fakulti Kejuruteraan Pembuatan Utem, Prof. Madya Dr. Mohd. Rizal Salleh pula berkata, pihaknya berbangga dan berterima kasih kepada pihak CTRM yang telah memberikan kepercayaan dalam melaksanakan projek tersebut seterusnya mengiktiraf kepakaran penyelidik daripada Utem.