Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching berkata, input daripada akademik dan pakar perubatan itu bakal memberi impak besar ke arah mewujudkan satu sistem rawatan yang efektif kepada pesakit.

Beliau berkata, dengan adanya pangkalan data seumpama itu, doktor dapat mengakses maklumat dari aspek genetik penyakit yang boleh menentukan kecen­derungan seseorang yang berisiko untuk mendapat talasemia.

“Inisiatif menangani penyakit berkaitan kecacatan darah ini adalah permulaan yang baik untuk negara membangunkan ke­perluan infrastruktur dan kepakaran yang dapat membantu mengembangkan perubatan genetik dan genomik ke bidang lain dalam perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Beliau berucap dalam Persidangan Global Globin 2020 Challenge (GG2020 Challenge) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Yang turut hadir Ahli Lembaga Pengarah Projek Variom Manusia (HVP), Prof. Sir John Burn.

GG2020 Challenge julung kali diadakan di luar Paris dengan Malaysia mendapat pengiktirafan menjadi tuan rumah kepada persidangan yang menghimpunkan profesional terkemuka yang berpengalaman luas dalam bidang penyakit darah (thalassaemia & hemoglobinopathies).

Dengan tema Moving towards Zero Thalassaemia, persidangan berkenaan berperanan sebagai medan perkongsian ilmu, pe­nemuan terkini, cerita kejayaan, cabaran dan kepayahan yang dihadapi penghidap penyakit talasemia.

Persidangan itu dianjurkan bersama Kementerian Pendidikan Tinggi, USM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Malaysian Node of the Human Variome Project (MyHVP) de­ngan kerjasama Malaysian National Commission for UNESCO (MNCU), The Human Variome Project dan Malaysian Society of Human Genetics (MSHG).

Turut diadakan dalam majlis berkenaan adalah sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara USM dengan Global Variome Limited bertujuan memperkukuhkan hubung­an kerjasama ke arah memperkasa aktiviti global berkaitan bidang genomik dan genetik perubatan.