Menurut Penasihat Program yang juga pensyarah Pusat Pe­ngajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Kampus Kejuruteraan USM, Dr. Norilmi Amilia Ismail, akti­viti itu selaras dengan usaha USM melahirkan pelajar yang Holistic, Entrepreneurial, Ba­lanced, Articulate dan Thinking (HEBAT).

Selain itu, katanya, program tersebut juga menggalakkan pembelajaran melalui pengalaman atau experience based.

“Melalui program ini, para pelajar juga dapat membuka pandangan mereka dengan melihat cara kerja yang berbeza dan mempelajari untuk mengadaptasi suasana baru.

“Ilmu yang diperolehi dalam program ini juga akan digunakan oleh pelajar untuk aktiviti mereka seterusnya iaitu pembinaan STEM Lab yang dijangka dibangunkan bulan ini,” katanya.

Selain itu, beliau juga berharap program itu dapat memberikan motivasi kepada pelajar untuk berinovasi dalam membina teknologi angkasa buatan Malaysia.

Program Global Space Connect merupakan aktiviti di peringkat antarabangsa bertujuan memberi pendedahan mengenai industri angkasa di Thailand serta menjalinkan jaringan kerjasama dalam mempromosi industri angkasa di kedua-dua buah negara.

Seramai sembilan penuntut serta tiga pensyarah Makmal Sistem Angkasa USM menjalankan program lawatan sambil belajar ke Bangkok, Thailand itu bermula 28 Ogos hingga 1 September lalu.

Program itu dinamakan Global Space Connect sebagai kesinambungan daripada Program Space Connect dan Mega Space Connect yang dijalankan pada April dan Mei tahun ini di sekolah-sekolah sekitar Pulau Pinang, Perak dan Kedah serta di Kampus Kejurute­raan USM.

Program Space Connect sebelum ini merupakan program lawatan ke sekolah-sekolah untuk menarik minat pelajar pada pendidikan STEM dan Mega Space Connect dan pelancaran Belon Angkasa bersama komuniti sekitar USM dan industri berkaitan.

Program selama empat hari itu bermula dengan Bengkel Pembu­atan Prototaip CubeSat bersama pegawai penyelidik National Scien­ce Technology and Innovation Policy Office, Thailand di Princess Chulabhorn Science High School Chonburi.

Peserta juga dibawa melawat ke Geo-Informatics & Space Technology Development Agency (GITSDA) untuk melihat aktiviti yang dijalankan oleh agensi angkasa Thailand tersebut.