Pakej itu yang digerakkan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) USM dilancarkan sempena Sambutan Ulang Tahun ke-30 PPAG di sini baru-baru ini.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USM, Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah, dua buah tapak arkeologi terkenal iaitu Lenggong, Perak dan Sungai Batu, Kedah dipilih sebagai destinasi dalam Pakej Arkeopelancongan USM tersebut.

Katanya, elemen yang ditawarkan dalam pakej itu adalah aktiviti lawatan berpandu (guided tour), pengalaman ekskavasi dan eksperimen membuat alatan batu.

Selain itu, tambah beliau, pelancong menerusi pakej berke­naan juga dapat merasai penga­laman membuat tembikar dan bata, melebur besi, menghasilkan replika artifak dan ekofak yang dibangunkan dalam konsep Li­ving Culture Gallery.

“Serentak dengan pelancaran pakej arkeopelancongan ini juga, kita turut melancarkan dua buah galeri iaitu Galeri Mini Orang Asli yang dilengkapi data kajian terkini oleh PPAG.

“Turut dilancarkan adalah Galeri Arkeobiologi yang mempamerkan rangka manusia hasil penyelidikan USM selama 30 tahun yang terletak berhampiran dengan Galeri Arkeologi terkini USM,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PPAG USM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Mokhtar Saidin berkata, pakej arkeopelancongan tersebut akan bermula pada 1 Mei ini dengan bayaran yang minimum.

"Kami juga menyediakan peluang pekerjaan terutama kepada graduan yang masih menganggur untuk menjadi pemandu pelancong profesional yang arif dalam bidang sejarah," katanya.

Sambutan ulang tahun ke-30 PPAG diadakan bertujuan menghargai jasa penyelidik yang men­yumbang selama 30 tahun dalam membangunkan data prasejarah negara.

Dalam masa sama, sambutan itu bertujuan mengingatkan kepada ahli PPAG untuk melengkapkan data arkeo negara dan mening­katkan nama USM dan Malaysia ke peringkat antarabangsa dalam bidang arkeologi.