Hati Buddy ciptaan pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) USM, Dr. Jamalsafri Saibon merupakan permainan dalam bentuk aplikasi telefon bimbit dan CD-I untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran pelajar tentang tingkah laku buli di sekolah.

Jamalsafri berkata, aplikasi itu menggunakan pendekatan pedagogi keseronokan dan kreativiti sekali gus sesuai dengan kumpulan sasar iaitu pelajar sekolah.

“Permainan ini adalah sebagai memenuhi keperluan pelajar memandangkan tiada topik pengajaran berkaitan dengan tingkah laku buli diajar di sekolah,” katanya.

Sementara itu, pensyarah PPIP, Dr. Fadzilah Amzah yang membangunkan BM B.E.S.T pula berkata, inovasi itu merujuk kepada pengajaran Bahasa Melayu yang Bestari (B), Eklektik (E), Sistematik (S) dan Tekal (T).

Menurutnya, BM B.E.S.T adalah satu alternatif pengajaran untuk mata pelajaran Bahasa Melayu di kelas yang bersifat holistik dan eklektik.

“Kaedah BM B.E.S.T ini diper­kenalkan bagi membudayakan amalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam kalangan pelajar yang menekankan kepada elemen 4 K + 1 N iaitu kreatif, kritikal, kolaboratif, komunikasi dan nilai,” katanya yang membangunkan inovasi itu bersama Dr. Muhammad Zuhair Zainal.

Pada pertandingan sama, Prof. Madya Dr. Azidah Abu Ziden yang juga pensyarah PPIP serta Dr. Siti Mastura Baharudin selaku penyelidik bersama memenangi pingat perak melalui produk Zero To Hero.

Inovasi itu membolehkan pelajar menghasilkan ePortfolio masing-masing melalui [email protected] dan eBook interaktif yang merangkumi hasil kerja pelajar yang boleh dijadikan rujukan komprehensif.