Dalam sidang kali ini, seramai 283 pelajar antarabangsa dari 36 negara mendaftar ke USM berbanding 141 orang tahun lalu de­ngan paling ramai dari China iaitu 83 orang, Yemen (25), Indonesia (23) dan Arab Saudi (19).

Negara lain termasuk Mesir, Maldives, Kanada, Brunei, Pakis­tan, Bangladesh, Bahrain, Thailand, Nigeria, Tanzania, Saudi Ara­bia, Jepun, Syria, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Negara asal pelajar juga me­ningkat dari 24 negara pada tahun lalu berbanding 36 pada sidang kali ini.

Menurut USM dalam satu kenyataan di sini, peningkatan pengambilan pelajar antarabangsa adalah selaras dengan agenda pengantarabangsaan USM sebagai sebuah Universiti APEX iaitu bagi Program Pemacuan untuk Kecemerlangan atau Accelarated Programme for Excellence (APEX).

Katanya, USM juga mewujudkan dua saluran kemasukan pelajar iaitu Saluran Perdana dan juga Saluran Alternatif iaitu Luar Negara, Kemasukan Khas (staf kerajaan), Warga Budaya, Warga Sukan dan Bottom Billion B40.

“Bagi memperkasakan sukan negara, USM menerima masuk seramai 24 pelajar yang juga atlet kebangsaan dan antarabangsa daripada pelbagai bidang sukan untuk mengikuti program pengajian di sini.

“Ini adalah usaha USM bagi melahirkan graduan yang Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate danThinking (HEBAT) dan mampu merealisasikan agenda serta wawasan Universiti dan negara,” katanya.

Antara warga sukan yang diterima masuk ke USM ialah perenang, Hollymax Bell yang pernah mewakili negara dalam Sukan Sekolah-sekolah Asia Bawah 18 Tahun dan pemain bola sepak, Muhammad Nukman De­resi.

Hollymax diterima masuk untuk mengikuti pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi setelah cemerlang di peringkat diploma dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.21 manakala Muhammad Nukman dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Perumahan, Bangunan dan Pe­rancangan dan memperoleh PNGK 3.52 di peringkat matrikulasi.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut menambah, USM turut prihatin dan memberi peluang kepada 10 golongan orang kurang upaya (OKU) untuk merealisasikan cita-cita menggenggam ijazah.