Dekan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM, Prof. Madya Dr. Adnan Mohamed Yusoff ber­kata, golongan istimewa itu dilihat sedikit tercicir dalam aspek dakwah ini apabila modul yang digunapakai hari ini seakan-akan sama sepertimana digunakan untuk golongan normal.

“Kita mungkin terlupa bahawa penerimaan golongan istimewa itu dalam mesej dakwah adalah berbeza terutama dalam penyampaian ilmu. Kefahaman itu bergantung cara mana, kita menyampaikannya dalam bahasa isyarat serta visual.

“Kadangkala, simbol dalam bahasa isyarat itu tidak ada dalam perkataan tertentu dalam pengajian Islam dan itulah yang hendak diseragamkan oleh pengkaji ini supaya kaedah itu dapat diterap dalam agenda dakwah OKU dalam semua peringkat umur golongan istimewa itu,'' katanya di Nilai dekat sini hari ini.

Beliau berucap pada majlis penutup Simposium Khidmat Ummah ‘The Gift Of Life' (Dakwah OKU) dan pelancaran projek Penyelidikan BIM Islami di Dewan Kuliah Utama Fakulti Quran dan Sunnah USIM, di Nilai, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (Nesda), Sariah Ibrahim dan Pengerusi Yayasan Pendidikan al Quran Bagi Anak Istimewa (Yayasan Faqeh), Mohd. Zaini Mat Abas.

Katanya, pendekatan kerohanian dan pemahaman bahasa isyarat yang betul dengan maksud yang tepat akan dapat memberikan mesej betul dalam dakwah OKU ini.

“Budaya menghukum dalam kalangan masyarakat kadangkala menyebabkan pendekatan dakwah semakin ditinggalkan dan perkara itu menyaksikan golongan OKU semakin jauh dengan Islam,'' tegasnya.

Maka kata Adnan, dalam melihat isu dan cabaran golongan OKU khususnya pada aspek merealisasikan konsep indahnya hidup beragama, antara perkara utama yang perlu diambil perhatian adalah sejauh mana masyarakat khususnya golongan cerdik pandai dalam kalangan mahasiswa pengajian Islam mendekati dan memahami budaya golongan minoriti ini.

“Sebab itulah simposium itu kita anjurkan untuk melatih bakal graduan Islam ini mendepani isu dan permasalahan ummah serta meletakkan nilai `al-takrim' (kemuliaan) kedudukan insan selaras dengan ajaran al Quran dan Sunnah,'' tegasnya.

Justeru menyedari keperluan itu, USIM juga melihat pentingnya bahasa isyarat sebagai medium komunikasi bagi OKU pekak.

“Kita amat berharap projek penyelidikan BIM Islami yang dilakukan dalam kalangan penyelidik USIM dengan Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (Prisma) dan Yayasan Faqeh,” katanya selepas melancarkan juga Kelab Sahabat [email protected]

Beliau berharap dengan penganjuran simposium itu dapat membuka mata masyarakat khususnya pihak berwajib ke arah mewujudkan ruang dan peluang pendidikan agama mesra OKU yang efektif.

“Jika kita boleh melahirkan golongan ‘huffaz al Quran' dalam kalangan OKU masalah penglihatan, saya rasa tidak mustahil pula kita akan dapat melahirkan golongan ‘huffaz al Quran' dalam kalangan OKU pekak,'' tegasnya.

Simposium dianjurkan mahasiswa tahun tiga Pengajian Sunnah dan Pengurusan Maklumat yang sedang mengikuti kursus aplikasi braille dalam pengajian al Quran dan Sunnah di USIM.