Kursus tersebut mendapat sam­butan dalam kala­ngan golongan berkenaan a­pa­bila seramai 25 pelajar kumpulan pertama kini sedang mengikuti kursus Teknologi Kejuruteraan Eletronik Gunaan di universiti itu selama empat tahun bagi kursus peringkat ijazah.

Seorang tenaga pengajarnya, Prof. Madya Basir Saibon berkata, bagi kursus yang mula diper­kenalkan pada 21 Sep­tember 2016 itu, pelajar akan mendalami bidang eletronik peringkat tinggi.

“Pada masa ini, banyak industri tempatan memerlukan pekerja mahir untuk keperluan kilang masing-masing.

“Namun, waktu ini, jumlah pekerja mahir belum mencukupi dan hanya mereka yang belajar bersungguh-sungguh sahaja bo­leh mengecap kejayaan itu,” kata Basir ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, pusat pengajian berkenaan menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif termasuk pelbagai peralatan me­ngajar yang canggih bernilai lebih RM5 juta.

Sementara itu, seorang pelajar jurusan berkenaan, Mohammad Ali Khan Mohd. Nawaz Khan, 24, dari Kulim berkata, dia gembira kerana berpeluang mempelajari ilmu kemahiran tersebut melalui kursus BET Applied Eletronics di UniKL MSI.

“Saya begitu berminat dengan bidang teknologi se­perti ini dan mahu menjadi seorang pekerja mahir bagi memenuhi permin­taan industri di Kulim ataupun di Pulau Pinang.

“Banyak kemudahan belajar secara teori dan praktikal disediakan di sini dan saya yakin tentang peluang masa depan dengan kemahiran yang diterapkan,” tambah Mohammad Ali yang juga merupakan graduan dan lepasan Dip­loma Electromechanical Installation and Maintenance dari UniKL MSI.

Nur Iman Zahra Muhamad Arif, 20, dari Kepala Batas, Pulau Pinang pula berkata, adalah menjadi satu kerugian ji­ka gene­rasi muda tidak mempunyai ilmu kemahiran dalam bidang seperti ini bagi membolehkan mereka mendapat peluang pekerjaan di kilang Silterra, Infineon dan First Solar yang terletak di Kulim, Kedah.

“Permintaan industri terhadap pelajar lulusan ini sanggat tinggi dan kita perlu merebut peluang itu.

“Banyak syarikat asing masih lagi menghadapi masalah untuk mendapatkan pekerja mahir bagi keperluan kilang mereka. Saya perlu mempelajari ilmu kemahiran di UniKL MSI bagi merebut peluang itu,” katanya.

Pendapat itu diso­kong rakannya Fatinah Buang, 20, yang berpendapat dalam usaha menjadikan Malaysia se­bu­ah negara maju, seseorang itu perlu berani menimba ilmu berkaitan teknologi ke tahap lebih mencabar.

“Kini sudah ada UniKL MSI yang sanggup mem­perkenalkan ilmu baharu itu untuk dipelajari oleh generasi muda, dan saya i­ngin mengambil peluang itu untuk belajar bersung­guh-sungguh bagi membaiki diri dan keluarga.

“Jika genarasi muda tidak ada kepakaran dalam ilmu seum­pama ini, pihak pengurusan kilang akan menghadapi masalah untuk menjalankan operasi pe­ngeluaran de­ngan sempurna,” kata pelajar itu yang berasal dari Ampang, Sela­ngor.

Wan Muhammad Arif Abdullah Mohd. Lupi, 21, dari Kuala Besut, Terengganu pu­la berkata, sesiapa sahaja mam­pu memiliki kerjaya hebat jika mempunyai cita-cita.

“Tujuan saya belajar di universiti ini adalah kerana minat dalam bidang teknologi sejak di bangku sekolah lagi.

“Di UniKL MSI ini, ada ramai tenaga pengajar berpengalaman dan harapan saya mereka dapat membantu saya mencapai cita-cita saya untuk menjadi seorang pekerja PCB Designer,” kata Wan Muhammad Arif yang pernah belajar mengenai Asasi Sains dan Teknologi di Kolej Mara Kulim.