Bahkan ia sejajar dengan peranan IPT yang tidak hanya sebagai kilang bagi melahirkan cerdik pandai, tetapi juga menjadi peneraju dalam bidang penyelidikan termasuk berkaitan alam sekitar.

Inilah yang dilakukan oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di kampus cawangan Jeli baru-baru ini melalui penganjuran program penanaman pokok My Tree For My FSB (Fakuti Sains Bumi).

Pengarah program itu, Dr. Amal Najihah Muhamad Nor berkata, usaha tersebut adalah antara inisiatif FSB untuk merealisasikan hasrat menjadikan bangunan FSB dan sekitar kampus cawangan UMK sebagai kawasan hijau dan bersih.

Beliau berkata, langkah tanam pokok oleh pengurusan kanan itu adalah kesinambungan daripada program penanaman pokok membabitkan 60 staf FSB yang diadakan pada bulan lalu.

“Sebanyak 67 spesies pokok ditanam dalam program tersebut dan pemilihan pokok adalah berdasarkan spesies pokok hutan dan pokok buah yang semakin terancam dan sudah tidak dikenali oleh masyarakat sekarang.

“Selain usaha menceriakan landskap FSB, program ini juga sebagai satu usaha pemeliharaan spesies dan kepelbagaian bio di sekitar kampus,” katanya.

Majlis yang dirasmikan oleh Naib Canselor UMK, Prof. Dr. Noor Azizi Azizi itu turut dimeriahkan oleh pengurusan kanan dan kakitangan UMK lain.

Bagi menyempurnakan gimik perasmian program itu, Noor Azizi secara simbolik menyempurnakan proses menanam pokok bunga tanjung atau nama saintifiknya Spanish Cherry Plant/Mimusops elengi.

Pokok cempaka telur (Magnolia liliifera) pula ditanam oleh pihak pengurusan dan kakitangan UMK.

UMK ditubuhkan pada 2006 dan mempunyai visi untuk menjadi peneraju pembangunan insan seimbang dan holistik bercirikan keusahawanan bagi kesejahteraan global.

Mengulas lanjut, Amal Najihah berkata, program itu berkonsepkan penjagaan pokok persendirian sehingga matang iaitu setiap kakitangan FSB bertanggungjawab memantau pembesaran dua batang pokok yang telah dipilih untuk ditanam sehingga matang.

“Program ini juga telah berjaya memupuk hubungan silaturahim antara kakitangan FSB dan sebagai perancangan jangka panjang bagi mengekalkan tahap kehijauan dan kualiti landskap sekitar FSB.

“Secara tidak langsung juga program ini meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pokok dalam memelihara alam sekitar FSB agar sentiasa sihat, selamat, indah dan kondusif,” katanya.

Sehubungan itu, Amal Najihah berharap program itu dapat melahirkan semangat kerja dan meningkatkan kualiti kerja dengan persekitaran yang lebih kondusif dan sihat.

“Impak daripada program ini dijadikan satu sumber ekonomi atau sumber idea penyelidikan bagi fakulti pada masa akan datang.

“Malah, pelbagai program boleh dianjurkan yang memberi impak kepada fakulti dan masyarakat pada masa hadapan sekiranya penjagaan yang rapi dijalankan,” jelas beliau.