UPSI turut mendapat kejayaan berganda apabila kumpulan Des­tar Limar dipilih sebagai pemenang bagi kategori Persembahan Terbaik dan Koreografi Terbaik dalam festival yang berlangsung selama empat hari itu.

Sementara itu, Kumpulan Tari­an Bidasari yang mewakili tuan rumah dinobatkan sebagai naib johan diikuti kumpulan Sutra Maya dari Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di tempat ketiga manakala Anugerah Khas Juri dimenangi Kumpulan Adikarma (Universiti Sains Malaysia).

Pengarah Pusat Budaya dan Seni UUM, Huzaidy Hussain berkata, festival itu dianjurkan bagi menonjolkan koreografi tari­an pelbagai kaum dan bangsa yang melambangkan keharmonian di Malaysia.

“Menerusi penganjuran festival ini, kita berharap dapat memupuk perasaan hormat-menghormati antara kaum, sekali gus membentuk komuniti yang kuat dan bersatu padu. Pada masa sama, kita mahu memperkenalkan budaya Malaysia kepada warga kampus dan pelajar antarabangsa yang turut belajar di UUM.

“Apa yang lebih penting, festival ini mengajak masyarakat untuk sama-sama menghargai seni budaya tradisi, di samping memupuk jati diri serta semangat mencintai seni dan budaya. Selain itu, mengukuhkan persaudaraan dan hubungan muhibah masyarakat pelbagai kaum di Malaysia,” katanya di sini baru-baru ini.

Hadiah disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar dalam penutupan Festival Tari 1Malaysia.

Sebanyak lapan institusi pengajian tinggi (IPT), antaranya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM), UPSI, Unimap dan UUM menyertai Festival Tari 1Malaysia tersebut.