Projek yang ditaja oleh IBM Malaysia Sdn. Bhd dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Ne­geri Perak itu diketuai oleh Prof. Madya Dr. B. Balamuralithara dan ahli-ahli akademik dari UPSI.

Menurut Balamuralithara, mat­­­la­mat utama Projek MYTTS itu adalah untuk menyemai pemikiran kreatif dan inovatif dalam kalangan guru pendidikan khas menerusi pendekatan pembelajaran berdasarkan reka bentuk yang menggunakan konsep Design Thinking.

“Design thinking adalah satu mekanisme yang meningkatkan kreativiti, inovatif, empati, pemikiran kritis, kerjasama dan penyelesaian masalah apabila para guru yang mengikuti konsep ini dapat menyemai kreativiti dan inovasi dalam proses pengajaran mereka dengan lebih efektif.

“Mekanisme ini amat penting diterapkan dalam kalangan para guru pendidikan khas yang setiap hari perlu menghadapi cabaran dalam mendidik kanak-kanak berkeperluan khas terutamanya pendidikan yang berteraskan STEM,” katanya di sini baru-baru ini.

Sehubungan itu, tambah Balamuralithara, seramai 40 guru pendidikan khas dari 11 daerah di negeri ini telah dipilih untuk mengikuti bengkel Design Based Learning khusus untuk mendedahkan mereka dengan konsep Design Thinking berkenaan.

“Keberkesanan bengkel ini telah ditonjolkan oleh guru-guru terlibat melalui produk inovasi pembelajaran STEM mereka di Seminar Pendidikan Khas yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan UPSI pada 24-26 April lalu.

“Hasil pameran produk inovasi pembelajaran daripada peserta bengkel berkenaan telah berjaya menarik perhatian ramai peserta dan pengunjung malah sebahagian daripada mereka mendapat inspirasi melalui produk inovasi pembelajaran yang dipamerkan,” katanya.

Menurut Balamuralithara lagi, kejayaan projek MYTTS fasa ketiga ini juga mampu menjadi asas untuk para guru pendidikan khas menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam proses pengajaran STEM di dalam kelas.