Naib Canselornya, Prof. Graeme Wilkinson berkata, Universiti Sunway tiada mekanisme untuk membantu golongan itu sebelum ini, tetapi dengan penubuhan Sunway University Press terdapat banyak tesis dan buku kajian penyelidikan ijazah doktor falsafah (PhD) serta ijazah sarjana bermutu dapat dibukukan.

“Ramai pensyarah dan ahli akademik Universiti Sunway yang perlu dibantu bagi menerbitkan buku-buku hasil kajian mereka. Mereka kini mempunyai peluang untuk menulis dan menerbitkan buku dengan kerjasama Sunway University Press.

“Bantuan mungkin diberi dalam bentuk pengolahan semula tesis atau penerbitan buku yang disertai pengolahan bertulis yang panjang serta kajian yang dibuat bersama pasukan penerbitan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Sunway University Press di universiti itu, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis itu turut menyaksikan pelancaran dua judul buku baharu terbitan Sunway University Press iaitu Great Thinkers, Great Minds tulisan Prof. Peter Heard dan All About Derivatives tulisan Abdul Latif Md. Ahood.

Majlis pelancaran itu telah disempurnakan oleh Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr. Jeffrey Cheah yang juga Canselor Universiti Sunway.

Yang turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Kanan Eksekutifnya, Dr. Elizabeth Lee.

Sementara itu, Jeffrey berkata, kajian dan penyelidikan yang dijalankan oleh pensyarah Universiti Sunway amat penting dibukukan bagi memudahkan penyelidik berkongsi penemuan dalam kajian yang dibuat.

“Penyelidikan yang hebat tidak akan menjadi penting jika hanya disimpan di rak penyelidikan. Ia harus disebar dan dikembangkan kepada masyarakat di luar universiti.

“Kecemerlangan pada peringkat universiti sewajarnya dapat dinikmati masyarakat menerusi perkongsian tulisan yang menarik minat, namun dalam masa sama tetap dipenuhi dengan isi kandungan bermanfaat.

“Universiti bertanggungjawab menghasilkan kualiti yang boleh dirasai masyarakat dan kita berharap terbitan buku-buku ini boleh memberi manfaat besar bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di luar negara,” katanya.