Bagi setiap pereka fesyen, berada di pentas LFW iaitu di Dewan Freemason boleh dianggap sebagai kejayaan yang membanggakan selain menjadi platform untuk terus menempa nama dalam industri tersebut.

Peluang yang diperoleh pelajar Limkokwing itu bukan sahaja meninggalkan kenangan berharga malah pastinya pengalaman memperaga hasil koleksi masing-masing di LFW menjadikan ‘resume’ mereka lebih mendapat perhatian pihak industri.

Pada 17 Februari lalu, pelajar Universiti Limkokwing dari cawangan Cyberjaya, Botswana, Indonesia, China, India, Mongolia, Iran, Botswana, Swaziland, Zimbabwe dan Afrika Barat telah memperaga sebanyak 43 rekaan dengan bertemakan “Budaya Asia dan Afrika Bertemu di Eropah”.

Dari Malaysia, mereka ialah P. Kutraleswarean, Ng Ken Leon dan Puteri Sheba Neiisa Raja Affandi; Maureen Kumala Dewi, Christian Belvin, Maria Sandra Wijaya, Yona Yuliani Hutari dan Stefen Leonard (Indonesia); Pedram Mirsadeghi dan Ofogh Nikkhesal (Iran); Botabayeva Adilya Bakhitkzy (Kazahkhstan); Saad Umar (Pakistan); Luo Tian Xuan (China); serta Shareful Islam Palash (Bangladesh).

Kesemua pereka muda yang masih bergelar penuntut di Universiti Limkokwing itu amat bertuah, sekali gus melakar sejarah dalam industri fesyen apabila Limkokwing adalah satu-satunya universiti yang dijemput oleh pihak penganjur LFW.

Menurut salah seorang pereka muda itu, Maureen Kumala Dewi, 23, pengalaman di LFW amat berbeza dengan yang dipelajari di dalam bilik kuliah dan tidak menafikan adakalanya agak kepenatan untuk meneruskan perjuangan kerana pelbagai tekanan khususnya dalam aspek masa.

“Kami menerima jemputan pada Disember lalu, dan pertunjukan pada bulan Februari. Kami hanya ada masa kurang daripada dua bulan. Tidak dapat saya ungkapkan betapa banyak perkara harus dilakukan dalam tempoh singkat itu.

“Tetapi, kerana kesungguhan dan kerjasama serta kesabaran para pensyarah yang tidak pernah jemu memberikan tunjuk ajar, kami berjaya melakukannya dengan baik,” katanya dari Indonesia yang juga pengurus jenama Limkokwing Fashion Club.

Sementara itu, P. Kutraleswarean yang pernah memenangi Anugerah Jenama Harapan Terbaik Limkokwing berkata, beliau turut tidak terkecuali berdepan tekanan kerana kesuntukan masa, namun berpuas hati apabila melihat hasil rekaannya dipersembahkan di pentas terkemuka LFW.

“Saya memilih untuk mengetengahkan fesyen pakaian lelaki dengan mengabungkan elemen pakaian tradisional masyarakat India dan moden dalam rekaan kali ini,” katanya.

Lebih membanggakan, kesemua koleksi dari 20 pereka muda itu diletakkan bawah jenama pertama di dunia yang dihasilkan oleh universiti iaitu Limkokwing Fashion Club.

Peneraju utamanya ialah Naib Presiden Jenama, Kreativiti dan Pembangunan Bakat, Universiti Limkokwing, Datuk Tiffanee Marie Lim.

Tiffanee ketika ditemui di LFW berkata, jemputan LFW untuk Limkokwing dianggap sebagai landasan terbaik bagi pelajarnya menyahut cabaran dan lebih berkeyakinan dalam industri seiring kebangkitan pereka muda tempatan dan antarabangsa.

Menurutnya, terdapat 54 peserta di Fashion Scout, tetapi Limkokwing adalah satu-satunya universiti yang dijemput untuk mempamerkan hasil kreativiti mereka dan kesemua pereka muda itu berjaya melaksanakannya.

“Limkokwing sememangnya bertuah kerana kesemua 20 pelajar ini merupakan pereka muda yang paling menonjol dalam setiap rekaan, mereka juga antara pelajar yang mendapat anugerah pelajar cemerlang.

Tiffanee berkata, selain tumpuan pada koleksi di pentas peragaan terkemuka itu, Limkokwing juga amat teruja untuk memperkenal dua orang model Limkokwing yang dibawa khas dari Malaysia.

Katanya, Tanisha Demour dan Gabrielle Boudville yang masih menuntut di Limkokwing Cyberjaya dibawa kerana kebolehan mereka dalam bidang peragaan, justeru diberi peluang menimba pengalaman di pentas LFW buat pertama kalinya.

Fashion Scout merupakan platform yang diperkenal oleh LFW untuk pereka-pereka muda mempamerkan bakat ke seluruh dunia agar mereka dapat diketengahkan ke peringkat yang lebih baik.

Sementara LFW pula merupakan antara empat pertunjukan fesyen terkemuka di dunia seiring New York, Milan dan Paris.

Berkongsi kejayaan Universiti Limkokwing menerusi Limkokwing Fashion Club, Tiffanee berkata, sumbangan dan kerjasama para pensyarah Limkokwing, turut menyumbang kejayaan di LFW.

“Hasil kerjasama itu kami berjaya menghasilkan koleksi berasaskan tekstil dari pelbagai negara, antaranya sulaman dari India, batik Indonesia, sutera Cina, tekstil tradisional dari Swaziland dan fabrik dari Azerbaijan, Tajikistan, Ghana, Botswana, Zimbabwe, Kemboja, Nigeria dan Iraq.

“Paling menarik perhatian penonton di pertunjukan fesyen itu sudah tentu batik Malaysia yang dihasilkan dengan lukisan tangan,” katanya.

Tiffanee merasakan, peluang yang diberikan LFW untuk Universiti Limkokwing berada di pentas terkemuka di London merupakan peluang yang dibuka oleh pemain industri untuk melihat lebih banyak pereka muda dari Malaysia dipaparkan di arena antarabangsa.