Persidangan yang berlangsung selama dua hari bermula 26 April lalu itu telah dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Persidangan yang dibahagikan kepada beberapa slot termasuk ucapan dasar oleh penceramah terkemuka dari industri serta pembentangan kertas kerja dan bengkel itu sememangnya dinanti-nantikan oleh pelajar pascasiswazah Uniten.

Bertemakan Energizing Innovations through Research Excellence, persidangan itu dilihat mampu menjadi satu platform untuk memperkasakan pelajar melalui pertukaran idea dan pengalaman dalam latihan serta pendekatan yang lebih kompleks.

Penganjurannya juga adalah sebagai salah satu usaha untuk menggalakkan aktiviti penyelidikan yang lebih berdaya saing dan cemerlang bagi memberikan perubahan serta inovasi dalam bidang berkaitan.

NATGRAD kali ini mencatat penyertaan yang amat memberangsangkan daripada pelajar pascasiswazah. Sejumlah 117 kertas kerja telah diterima dalam bidang kejuruteraan, perniagaan dan pengurusan serta teknologi maklumat dan tenaga.

“Persidangan ini selaras de­ngan misi dan usaha kementerian untuk meneroka, memba­ngun dan memanfaatkan agenda Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) bagi menjana ilmu pengetahuan, mencipta kekayaan dan menjamin kesejahteraan masyarakat.

“Dalam era globalisasi yang semakin kompetitif, keupayaan untuk memanfaatkan STI sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi menjadi semakin pen­ting. STI dapat membantu meningkatkan produktiviti dan daya saing negara serta mampu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi,” kata Wilfred Madius Tangau.

Sementara itu, Naib Canselor Uniten, Datuk Prof. Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, inovasi merupakan komponen penting bagi mengekalkan persaingan tidak kira dalam apa jua bidang.

“Amalan ini telah diterapkan melalui budaya kerja di Uniten dan ia selaras dengan ekonomi negara hari ini yang menuntut pertumbuhan yang lebih dinamik dalam mahupun luar negara.

“Aktiviti penyelidikan pasti akan membantu institusi pengajian tinggi untuk mencari pe­nemuan baru dan inovasi serta menjadi pemangkin pertumbuhan negara,” katanya.

Persidangan itu turut membuktikan salah satu komitmen Uniten untuk mempergiatkan aspek pembelajaran dan penyelidikan yang berinovasi dalam kala­ngan penyelidik.

Pada perasmian persidangan itu turut diadakan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Uniten dan NanoMalaysia Berhad iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Tujuan MoU itu adalah untuk menjalinkan kerjasama dalam aspek penyelidikan dan projek-projek yang berkaitan dengan teknologi nano.

Selain itu, pertukaran dokumen memorandum perjanjian (MoA) juga telah direalisasikan antara Kelab Enactus, Uniten Kampus Sultan Haji Ahmad Shah dan NanoMalaysia yang berkait rapat dengan projek penternakan lebah kelulut.

Ini bertujuan membantu me­ning­katkan kesejahteraan hidup masyarakat setempat melalui pelaksanaan projek, perkhidmat­an, peningkatan kemahiran dan hasil inovasi menggunakan teknologi sedia ada yang boleh dilaksanakan secara mampan.