Suasana di Pusat Teater Taman Samgeori Cheonan sempena Festival Tarian Dunia Cheonan di Bandar Cheonan, Korea Selatan itu kelihatan begitu gah dengan ribuan penonton yang hadir bagi menyaksikan kumpulan penari-penari antarabangsa beradu nasib untuk merebut hadiah wang tunai yang ditawarkan lebih daripada RM130,000.

Setiap kumpulan tekun menjalani latihan tarian dan diperhebat lagi dengan aksesori pakaian tradisional negara masing-masing.

Pada waktu inilah kreativiti tanpa batasan Kumpulan Kesenian dan Kebudayaan Duta Budaya Unitar International University (Unitar) diperlukan untuk bersaing dengan wira-wira dunia yang lain.

Ini memang pertandingan yang memperdagang bakat-bakat dan kreativiti kesenian tarian dari seluruh dunia dan sudah pasti Duta Budaya antara kumpulan yang membawa misi untuk mengharumkan nama Malaysia.

Melihat jumlah penari-penari negara lain seperti Brazil, Rusia dan Peru yang menghantar hampir 50 peserta ketika Duta Budaya hanya dengan 20 penarinya, namun ia bukan penghalang untuk mencapai kejayaan.

Jumlah delegasi Duta Budaya walaupun kecil tetapi tetap memperlihat semangat juang yang tinggi cukup, dan seterusnya mencatat kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih Hadiah Galakan dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 bersama trofi dan sijil.

Dalam pertandingan itu, ketika hampir semua negara lain berbangga menterjemahkan tarian negara bangsa mereka Duta Budaya tidak terkecuali mempersembah tarian zapin yang lengkap dengan persalinan kebangsaan.

Kemenangan itu berjaya menewaskan kumpulan kesenian dari beberapa buah negara yang menyertai pertandingan itu.

Hadiah utama telah dimenangi Brazil dan Rusia yang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM42,000 bersama trofi dan sijil, manakala tempat kedua pula dimenangi Peru dan Filipina yang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM21,000 bersama trofi dan sijil.

Hadiah kemenangan itu telah disampaikan oleh Datuk Bandar Cheonan, Bob Yeong Gu.

Kumpulan Duta Budaya yang diketuai Ketua Misinya, Shahrul Annuar Abdul Halim dan turut disertai Pengarahnya, Wan Huzainee Wan Hussein dan penari-penari Duta Budaya yang menjadi faktor atas kejayaan yang membanggakan itu.

Wan Huzainee berkata, pertandingan yang menampilkan tarian tradisional negara dari seluruh dunia itu julung kali disertai Duta Budaya.

Katanya, kejayaan itu tidak akan diperolehi tanpa sokongan padu daripada pihak pengurusan universiti.

“Pengurusan Unitar banyak membantu dan memberi sokongan moral kepada Duta Budaya.

“Sokongan itu merupakan komitmen berterusan universiti kepada Duta Budaya dalam memelihara kebudayaan dan kesenian warisan Melayu di persada antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, mengangkat tema 1Malaysia dalam pertandingan itu yang padat dengan semangat setiakawan dan perjuangan merentasi kehidupan secara perpaduan dan harmoni yang manis.

“Ternyata penari-penari memperlihat semangat daya juang yang sangat tinggi dalam pertandingan antarabangsa ini dan akhirnya kita berjaya,” katanya.