Program kerjasama antara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Unitar International University (Unitar) sebagai rakan penaja perak itu turut mendapat penyertaan 51 peserta daripada kakitangan dan pelajar Unitar.

Pengerusi Unitar Capital Sdn. Bhd., Mazhairul Jamaludin, berkata, program itu dianjurkan bagi mengeratkan hubungan antara warga Unitar dan masyarakat setempat selain mempromosikan Unitar di Petaling Jaya.

“Saya melihat program ini mampu mengetengahkan Unitar sebagai sebuah universiti swasta yang maju dan seiring dengan pembangunan komuniti setempat.

“Saya berharap program ini mampu mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan warga Unitar dan penduduk di Petaling Jaya,” katanya.

Acara kemuncak program itu ialah Majlis Penyerahan Replika Cek Tajaan Biasiswa RM200,000 Unitar kepada Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain bagi membiayai pelajar yang kurang berkemampuan di sekitar Petaling Jaya bagi melanjutkan pelajaran pada peringkat asasi dan diploma.

Penyerahan replika cek itu turut disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Unitar Capital Sdn. Bhd., B. Puvan dan Naib Canselornya, Prof. Dr. Noor Raihan Abd. Hamid.

Sementara itu, Unitar turut akan menganjurkan Hari Terbuka Unitar 2018 pada 4 dan 5 Ogos ini bertempat di kampus Induk Unitar Kelana Jaya, Selangor.

Pelbagai aktiviti menarik dan promosi istimewa bakal menanti pengunjung yang hadir.