Presiden dan Naib Canselor UniRazak, Prof. Datuk Seri Dr. Md. Zabid Abdul Rashid berkata, sejak ditubuh pada 1997, institusi pendidikan tinggi itu kekal komited membangunkan modal insan yang memenuhi ke­perluan pasaran, pada masa sama merintis kerjasama strategik de­ngan pihak industri, selain turut mewujudkan program pengajian berkembar dengan universiti antarabangsa terkemuka.

Beliau berkata, seiring visinya menjadi institusi pendidikan terkehadapan dalam menyedia pendidikan berkualiti dan membangunkan modal insan yang memenuhi keperluan pasaran, UniRazak sentiasa menambah baik program pengajian yang ditawarkan.

“Sehingga kini, sejumlah tujuh fakulti pengajian ditawarkan UniRazak yang mencakupi pelbagai peringkat pengajian bermula daripada program diploma sehinggalah ke peringkat ijazah kedoktoran.

“Kesemua pengajian ditawarkan bukan sahaja berpandukan keperluan industri semasa, malah silibus pembelajaran yang digunakan turut diiktiraf di pe­ringkat antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Terletak di tengah pusat ban­dar Kuala Lumpur, UniRazak ya­ng kini menjangkau usia 20 ta­hun telah berjaya meraih pengiktirafan antarabangsa termasuk me­na­war­kan program kerjasama pengajian dengan ins­titusi pendidikan an­tarabangsa seper­ti Babson College, Amerika Syarikat; CPA Australia melalui program pe­ngajian perakaunan; University of Waikato, New Zealand dan institusi terkemu­ka du­nia yang lain.

Md. Zabid berkata, selain suasana pem­belajaran kondusif, kos pengajian yang ditawarkan oleh UniRazak juga amat berpatutan, malahan sijil dikeluarkan juga diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Katanya, terdapat beberapa bi­dang pengajian ditawarkan Uni­Razak membuka peluang kepa­da pelajar tempatan menimba pe­ngalaman dan ilmu di negara luar.

Sebagai contoh, ka­tanya, mela­lui program pengajian International Bu­siness School Alliance (IBSA) diasaskan secara rasmi pada 2003, membo­lehkan pelajar membina rang­kaian dengan sekolah perniagaan an­­tarabangsa terma­suk memiliki dua ke­­lulusan ijazah se­rentak.

“Melalui IBSA se­jumlah tujuh institusi pendidikan antarabangsa kini menawarkan program berkembar dengan UniRazak, sekali gus membuka peluang kepada pelajar untuk mengikuti pengajian semester pertama di sini manakala dua semester berikut di mana-mana institusi yang diminati pelajar.

“Melalui program pengajian peringkat Sarjana Pentadbiran Per­niagaan (MBA) Antarabangsa, pelajar kami boleh menyambung semester dua dan tiga pengajian di tujuh universiri terkemuka di luar negara termasuk Bremen University of Applied Science (Jerman); University of Valencia; IBS Moscow; University of North Carolina Wilmington (Amerika Syarikat) dan University of Hertfordshire, United Kingdom.

“Peluang yang terhidang ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar yang berminat kerana tidak semua universiti tempatan menawarkan konsep dan modul pengajian yang in­teraktif seperti UniRazak dan paling penting, sijil yang dimiliki nanti turut diiktiraf oleh negara-negara terlibat,” ujarnya.

Selain itu, katanya, setakat ini UniRazak merupakan satu-sa­tunya institusi pendidikan tinggi yang menawarkan pengajian ber­kaitan pencukaian iaitu melalui Bachelor of Taxation (Hons) dengan kerjasama Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM).