ZUL AZHAR: Unimap telah bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara (NCIA) iaitu agensi bawah NCER sejak 2011 dengan sejumlah RM13.5 juta telah diperuntuk untuk beberapa projek berimpak tinggi dalam bidang elektronik, mikroelektronik dan pertanian antaranya di Kawasan Industri Lembah Chuping (CVIA)

Dengan pembangunan CVIA, kerjasama yang terjalin itu diluaskan dengan merangkumi tambahan dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, pembuatan hijau dan industri halal. Unimap telah diperuntuk geran untuk mengkaji pasaran motosikal elektrik (electrical 2-wheeler) di kawasan seliaan NCIA.

Selain itu, projek-projek berkaitan penggunaan dron untuk penanaman padi dan program latihan tenaga kerja mahir dalam bidang kejuruteraan CVIA juga sedang giat diterokai. Insya-Allah dengan pembangunan CVIA ini kerjasama Unimap dengan NCIA akan menjadi lebih erat lagi.

Apakah kerjasama NCER ini akan meningkatkan kemajuan ekonomi serta pembangunan Unimap?

Jaringan kerjasama ini akan dijayakan dengan lebih teratur dan pantas jika potensi bakat digembleng bersama. Unimap bekerjasama dengan kerajaan negeri bawah kepimpinan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang mempunyai kekuatannya tersendiri.

Jika digabungkan, kekuatan itu akan membawa kemajuan yang lebih pesat dan merangsang ekonomi Perlis. Maka dengan itu, Unimap seiiring dengan kerajaan negeri membantu mentransformasikan ekonomi yang moden dan dinamik untuk kesejahteraan rakyat serta mengukuhkan industri-industri bandar dan menentang kemunduran serta mengejar pelajaran dan kemajuan.

Jaringan NCER ini juga mampu merangsang pembangunan sosioekonomi kawasan di sekitar universiti bagi kesejahteraan penduduk. Ini adalah untuk memastikan bahawa pembangunan yang dijalankan berteraskan arus pasaran dan perdagangan, dan Perlis tidak ketinggalan dalam era globalisasi.

Unimap kini menghampiri 17 tahun penubuhannya. Banyak kejayaan berjaya diraih pada usia yang masih muda. Justeru, apakah hala tuju Unimap bagi meneruskan kecemerlangan terutama dalam hubungan dengan industri?

Unimap mempunyai Pusat Kerjasama Industri dan agensi kerajaan yang berperanan menjalin hubungan pihak industri dari pelbagai aspek, terutama yang berkait terus dengan pembelajaran. Selain program seperti Pendedahan Industri (IndEx), Latihan Industri (InTra), Ceramah Industri (Industrial Talk), Latihan Staf Akademik (Staff Internship) dan Program Keusahawanan Industri (IndEnt), puluhan diskusi universiti-industri terus diadakan agar kurikulum yang ditawarkan sentiasa relevan.

Dewasa ini, dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) lebih banyak interaksi dijalankan, khususnya yang berkait dengan projek-projek penyelidikan di mana Unimap menggunakan sumber kepakaran yang ada bagi menangani cabaran yang dihadapi industri menggunakan teknologi terkini.

Tahap kebolehpasaran siswazah merupakan antara indikator utama dalam penarafan sesebuah universiti. Unimap dilaporkan mencatatkan kadar kebolehpasaran yang tinggi. Apakah inisiatif yang diambil bagi memastikan kadar ini terus meningkat setiap tahun?

Allhamdulillah, kurikulum yang ditawarkan, serta kemudahan pengajaran dan pembelajaran universiti seiring dengan apa yang dikehendaki industri.

Pelajar dibimbing dengan ilmu dan kemahiran asas tinggi, serta dibekalkan peralatan yang canggih. Pelaburan makmal di pusat pengajian menyokong keperluan IR 4.0.

Melalui ini semua, siswazah Unimap bersifat bersiap siaga industri. Potensi pelajar diserlahkan dengan pendekatan pembangunan belia positif menerusi penekanan 8C iaitu Caring, Competent, Character, Confident, Cooperation, Considerate, Competitive dan Contribution.

Setiap universiti memiliki perancangan strategik dalam memacu pertumbuhan dan kejayaannya. Selepas 17 tahun ditubuhkan, apakah yang digariskan dalam perancangan strategik Unimap hari ini selain menetapkan sasaran menjadi antara universiti terbaik dunia?

Unimap meneliti perjalanan yang disusuri sejak 17 tahun lalu dan melihat di mana perlu ditingkat, dikurang, diberhenti dan dimulakan, sesuai dengan keadaan semasa dan perkembangan senario pendidikan tinggi masa kini.

Hasilnya, Peta Strategi Unimap 2025 dibangunkan. Ia berteraskan pendekatan 4.0 iaitu perkongsian memacu pembangunan dan dengan konsep kebersamaan dan perkongsian dengan rakan industri, institusi pengajian tinggi, dan pemegang taruh lain.

Empat aspek diketengahkan iaitu pengajaran pembelajaran, kualiti siswazah, penyelidikan dan penjanaan kewangan.

Pencapaian menjadi antara universiti terbaik dunia amat penting, namun universiti terlalu mengejar kedudukan yang diukur melalui indikator tertentu, di mana indikator tersebut tidak semestinya selaras dengan latar belakang serta hasrat universiti yang tersendiri.

Umum mengetahui, universiti anggota Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) memberi penekanan kepada perkembangan IR 4.0. Apakah persediaan Unimap bagi menangani cabaran dan kehendak IR 4.0?

Sejak awal penubuhan lagi, Unimap (ketika itu Kukum) bergerak ke arah IR 4.0 walaupun terma IR 4.0 masih belum wujud lagi.

Hal ini kerana Unimap ditubuhkan untuk melahirkan siswazah yang menyumbang kepada keperluan industri negara, khususnya industri elektronik, iaitu bidang tujahan pengajian tinggi.

Kemajuan teknologi masa kini kebanyakannya berkisar sekitar kemajuan industri elektronik, sekali gus meletakkan universiti di tengah-tengah arus IR 4.0 dalam konteks melahirkan tenaga kerja mahir bagi memenuhi kehendak negara dan dunia.

Amalan berdialog dan berinteraksi dengan rakan industri menjadikan kurikulum universiti sentiasa relevan. Penyampaian kursus serta pentadbiran operasi juga tidak kurang pentingnya dalam keselarasan dengan IR 4.0.

Tambahan kebanyakan warga Unimap berada dalam kelompok generasi Y, Z dan milenium yang menggunakan perkakasan teknologi siber dalam hampir semua transaksi kehidupan.

MUKADIMAH

KOMITMEN Kerajaan Persekutuan yang memberi tumpuan kepada sektor industri memacu pembangunan wilayah-wilayah koridor di negara ini berjaya meningkatkan kemajuan ekonomi serta kesejahteraan rakyat Malaysia.

Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) misalnya yang antara salah satu koridor yang dibangunkan oleh kerajaan dengan kerajaan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak menyerlahkan kekuatan dan kelebihan masing-masing untuk sama-sama membangunkan ekonomi Malaysia.

Ini termasuk penglibatan Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara (NCIA) yang memajukan sektor khusus termasuk pertanian, alam sekitar dan sumber tenaga melalui kerjasama industri dan universiti dalam merangsang pertumbuhan ekonomi dari segi penyediaan peluang pekerjaan, perniagaan, menjana pendapatan dan seterusnya melahirkan lebih ramai usahawan dan siswazah berjaya.

Universiti Malaysia Perlis (Unimap) antara universiti yang sudah 17 tahun bertapak di Perlis memacu jaringan kerjasama dengan NCIA dalam pembangunan Kawasan Industri Lembah Chuping (CVIA) yang pastinya membuka peluang kepada Unimap melaksanakan kajian dan penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang elektronik, mikroelektronik dan pertanian.

Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK menemu bual Naib Canselor Unimap, Datuk Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal bagi mendapatkan butiran lanjut atas kejayaan universiti dalam melaksanakan transformasi sosioekonomi di Perlis.