Perkembangan pesat industri rel dapat dilihat dengan kewujudan sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Mass Rapid Transit (MRT), projek Kereta Api Laju antara Kuala Lumpur dan Singapura serta Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

Kepesatan itu sekali gus menyebabkan permintaan terhadap pekerja mahir dalam bidang industri rel dijangka bertambah dan memberi peluang kepada para graduan tempatan untuk mengisi peluang pekerjaan tersebut.

Untuk itu, UniKL melalui UniKL Asia Rail Institute telah menjalankan beberapa siri bengkel dengan pakar-pakar dari industri rel tempatan dan luar negara seperti Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) dan MTR Hong Kong untuk membangunkan program modal insan berorentasikan kehendak industri rel semasa.

Hasil dari bengkel itu, UniKL Asia Rail Institute dengan rakan industrinya, Rapid Rail telah membangunkan program Pensijilan Profesional Rolling Stock (Koc) Maintenance dan bakal memulakan sesi pengajian pada Ogos ini.

Ketua Jabatan Jaringan Antarabangsa Industri dan Institusi (IIIP) UniKL IPROM, Dr. Faridah Mustaffa Bakry berkata, setakat ini UniKL Asia Rail Institute menerima ba­nyak permohonan untuk mengikuti program tersebut terma­suk dari luar negara, tetapi bagi pengambilan pertama, ia ditawarkan hanya kepada pelajar-pelajar diploma lepasan Institusi Pendidikan MARA (IPMa).

“Kami menerima lebih 50 permohonan dan mereka dikehendaki melalui pro­ses temuduga dengan Rapid Rail kerana hanya pelajar terbaik akan dipilih untuk mengikuti program tersebut.

“Untuk kumpulan pertama, hanya 25 pelajar dipilih dan mereka juga beruntung kerana dijanjikan kerja selepas tamat pengajian kelak,” katanya.

UniKL Asia Rail Institute yang terletak di Universiti Kuala Lumpur Institute of Product Design & Manufacturing (UniKL IPROM) di Taman Shamelin Perkasa, Cheras, Kuala Lumpur itu ditubuhkan hasil daripada pelan transformasi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan MARA. Antara teras utama pelan tersebut adalah melahirkan modal insan yang kompetan me­lalui program latihan pakar dalam sektor strategik negara seperti pengangkutan darat.

Bagi pensijilan profesional, ia dikendalikan di Pusat Pem­belajaran Lanjutan dan Berterusan (ACE) di bawah Jabatan Jari­ngan Antarabangsa Industri (IIIP), iaitu satu bahagian yang diwujudkan di semua kampus UniKL untuk mengkoordinasikan kursus jangka pendek dan pensijilan profesional.

Menurut Faridah, program pensijilan itu akan dijalankan selama 11 bulan dan pengajarannya dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu modul asas, praktikal dan latihan industri. Ketiga-tiga modul itu berdasarkan silibus terkini dan diiktiraf Rapid Rail, MTR Hong Kong serta UniKL.

Katanya, program itu juga akan menggunakan peralatan sebenar dalam industri rel seperti sistem brek, sistem pintu, sistem pe­nyenggaraan kereta api dan traction motor.

“Dalam tempoh 11 bulan itu, pelajar akan mengikuti pem­belajaran secara teori selama lima bulan di UniKL Asia Rail Institute dan selebihnya mereka perlu menjalani latihan praktikal di Rapid Rail Academy, Subang, Selangor,” ujarnya.

Beliau berkata, pelajar yang ingin mengikuti program tersebut perlu memiliki kelulusan dalam bidang kejuruteraan elektrik, elektronik dan mekanikal de­ngan Nilai Purata Gred Kumulatif (CGPA) 2.75 ke atas.

“Kami merancang menawarkan program ini setiap enam bulan bagi memenuhi keperluan sumber tenaga manusia dalam industri rel,” ujar Faridah.

Katanya, industri rel bakal mewujudkan sehingga 30,000 peluang pekerjaan dalam semua segmen seperti Transit Ali­ran Ringan 3 (LRT 3), Keretapi Berkelajuan Tinggi, MRT 2 dan ECRL.

Jelasnya, LRT 3 dijangka memerlukan lebih 2,000 tenaga kerja merangkumi bahagian operasi dan penyelenggaraan, begitu juga dengan projek MRT 2.

Malah, katanya, pelajar juga mempunyai peluang untuk be­kerja di luar negara dengan ada­nya projek Makkah Metro di Mekah, Arab Saudi.

Sehubungan itu, program pen­sijilan profesional dalam industri rel yang ditawarkan akan me­nerapkan subjek Bahasa Arab bagi memudahkan pelajar sekiranya mereka berpeluang bekerja di negara tersebut.

Menurutnya, UniKL Asia Rail Institute turut menjalinkan kerjasama strategik dengan tenaga pakar tempatan dan luar negara seperti JR Kyu­shu, Jepun, MTR Hong Kong, Hunan Vocational College of Railway Technology, China dan University of Seville, Sepanyol.

Inisiatif itu bertujuan mendapatkan pengiktirafan dan pengkongsian pengalaman dalam bidang rel.