Malah, pendekatan itu juga meletakkan UniKL yang dimiliki sepenuhnya oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara), antara universiti pilihan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ingin menyambung pengajian ke pe­ringkat lebih tinggi.

Itulah keunikan UniKL dan ia bertepatan dengan kedudukan­nya sebagai sebuah universiti teknikal dan keusahawanan terkemuka di negara ini.

Pendekatan sistem pembelajaran secara hands-on yang ditekankan itu bertujuan melengkapkan graduannya dengan kemahiran berfikir menerusi pengalaman dan pengamatan.

Penekanan terhadap keseimbangan antara teori dan praktikal itu juga adalah untuk memastikan graduan yang dihasilkan berke­trampilan dan berupaya meme­nuhi keperluan pasaran pekerjaan.

Setiap pelajar UniKL bukan sahaja didedahkan dengan pem­be­lajaran di dalam kuliah tetapi turut diajar tentang teknik, teknologi dan amalan industri sebenar. Malah, pelajar juga terlibat secara langsung dengan peralatan atau mesin-mesin ketika belajar supaya mereka tidak kekok untuk me­ngendalikan pe­ralatan tersebut apabila memasuki dunia pekerjaan.

Keunikan tersebut membuatkan permohonan pelajar untuk memasuki UniKL semakin bertambah, lebih-lebih lagi universiti itu menawarkan program-program yang sesetengah pengkhususannya tidak ditawarkan oleh mana-mana institusi di negara ini seperti kejurute­raan aviasi dan marin.

UniKL menawarkan lebih 130 program daripada 12 kampus yang terdapat di seluruh Malaysia. Semua program yang ditawarkan itu telah mendapat kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Program yang ditawarkan bermula daripada program asasi, diploma, ijazah sarjana muda dan beberapa program pascasiswazah. UniKL mempunyai beberapa pengambilan iaitu pada bulan Mei dan Jun untuk program asasi, Julai untuk program diploma dan September bagi program ijazah sarjana muda.

Buat masa ini, UniKL mempunyai lebih 23,000 pelajar dan sepanjang penubuhannya sejak tahun 2002, UniKL telah melahirkan lebih 48,000 graduan yang rata-ratanya berjaya dalam kerjaya masing-masing, selain menjadi usahawan berjaya di dalam mahupun luar negara.

Selaras dengan cabaran era globalisasi dan memenuhi permintaan industri, UniKL tidak hanya berusaha memastikan gra­duannya dilengkapi pengetahuan teknologi yang kukuh, kemahiran teknikal dan keusahawanan tetapi juga dibekalkan dengan ilmu ke­pimpinan dengan keperibadian yang tinggi.

Selain itu, sebagai nilai tambah kepada pelajar, universiti tersebut turut menyediakan kursus-kursus profesional yang boleh diikuti pelajar selepas tamat pe­ngajian. Kursus profesional yang ditawarkan bersesuaian dengan program ijazah atau diploma yang sedang diikuti oleh pelajar.

Bukan itu sahaja, terbaharu UniKL menawarkan Program Teknologis Huffaz UniKL Ulul Albab bagi memberi peluang kepada pelajar institusi tersebut yang datang daripada pelbagai latar belakang untuk menjadi seorang hafiz al-Quran.

Program itu diperkenalkan sejajar dengan hasrat UniKL untuk menyediakan ruang dan platform bagi golongan hafazan yang berminat melanjutkan pengajian dalam bidang teknikal.

Bagaimanapun, program khas itu hanya ditawarkan oleh lapan kampus UniKL iaitu UniKL Malaysian Institute of Chemical and Bioengineering Technology (UniKL MICET), UniKL Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP), UniKL Malaysian Institute of Industrial Technology (UniKL MITEC), UniKL British Malaysian Institute (UniKL BMI), UniKL Malaysia France Institute (UniKL MFI), UniKL Malaysian Spa­nish Institute (UniKL MSI), UniKL Malaysian Institute of Marine Engineering Technology (UniKL MIMET) dan UniKL Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT).

Istimewanya, program tambahan itu boleh diikuti oleh pelajar dengan bayaran hanya RM180 untuk pengajian selama empat tahun. Sebaik tamat pengajian, pelajar bukan sahaja mendapat ijazah, malah memperoleh sijil Tahfiz Malaysia.

Untuk mendapat Sijil Tahfiz Malaysia, pelajar perlu lengkap hafazan 30 juzuk al-Quran dan lulus ujian yang telah ditetapkan.

Lepasan SPM yang berminat untuk mengikuti mana-mana program ijazah di UniKL, sebaik­nya mereka memasuki Program Asasi terlebih dahulu kerana me­lalui laluan itu, ia telah menjamin tempat untuk mereka dalam mana-mana program ijazah di UniKL sekiranya memenuhi kelayakan yang ditetapkan.

Bagi lepasan SPM yang cemerlang, mereka berpeluang untuk belajar di luar negara sekiranya mengikuti beberapa program asasi terpilih iaitu Program Asasi Sains dan Teknologi untuk Universiti Korea, Program Asasi PreFrance University, Program Asasi Kejuruteraan untuk Universiti Sepanyol, PreRussian University Engineering Programme.

Melalui program tersebut, pelajar akan belajar setahun atau dua tahun di UniKL untuk mengambil Program A-Level, kemudian menyambung pengajian seterusnya di luar negara.

Sekiranya, keputusan yang diperoleh sepanjang berada di UniKL tidak mencukupi untuk melayakkan mereka ke luar negara, pelajar tersebut akan diserap­kan di mana-mana kampus di UniKL, mengikut program ijazah yang diikuti. Peluang itu sepatutnya direbut oleh lepasan SPM kerana pengajian mereka akan dibiayai sepenuhnya oleh Mara.