Terdapat berpuluh-puluh ca­bang kejuruteraan yang boleh diceburi mengikut spe­sifikasi berbeza. Namun, kini lebih ramai pelajar khususnya lelaki berminat memilih kejuruteraan dalam industri marin ataupun perkapalan yang dilihat mampu menjamin kerjaya di masa depan.

Antara cabang kejuruteraan yang mempunyai prospek cerah adalah kejuruteraan elektrik dan elektronik marin yang mendapat permintaan tinggi daripada industri tidak kira dalam mahupun luar negara.

Dekan Universiti Kuala Lumpur Institut Teknologi Kejuruteraan Marin Malaysia (UniKL MIMET), Prof. Madya Dr. Mohd. Yuzri Mohd. Yusop berkata, pasaran kerjaya dalam industri elektrikal marin tetap cerah dan luas walaupun dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Mereka yang memiliki ijazah mahupun diploma dalam kejuruteraan elektrik dan elektronik marin boleh memilih untuk bekerja di darat, di pelantar minyak atau di atas kapal antaranya sebagai Pegawai Elek­tro-Teknikal (ETO) serta Junior ETO yang setara dengan jurutera elektrik di atas kapal.

“Keperluan ETO di atas kapal yang diiktiraf dilihat turut me­ningkat dari semasa ke semasa.

“Mereka juga boleh bekerja di darat sebagai jurutera, eksekutif teknikal, juruelektrik mahupun juruteknik,” katanya.

Mohd. Yuzri berkata, kerjaya dalam industri elektrikal ini juga menawarkan pendapatan yang lumayan iaitu minimum AS2,400 (RM9,935) sebagai Junior ETO dan minimum AS$4,000 (RM16,559) bagi ETO.

Manakala bagi ker­jaya di darat, mereka boleh memperoleh pendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 kepada pemegang ijazah dan RM1,500 hingga RM3,500 untuk graduan diploma.

Sehubungan itu kata Mohd. Yuzri, mereka yang berminat menceburi bidang kerjaya tersebut boleh memulakan langkah dengan mengikuti pengajian dalam kejuruteraan elektrik dan elektronik marin tidak kira di pe­ringkat ijazah mahupun diploma.

Katanya, UniKL MIMET yang terletak di Lumut, Perak adalah antara institusi pengajian tinggi (IPT) yang menawarkan Diploma Teknologi Kejuruteraan Elektrik & Elektrikal Marin dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejurute­raan (Kepujian) Elektrik & Elektronik Marin.

Beliau berkata, program yang ditawarkan di UniKL MIMET ini adalah program ETO pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Laut Malaysia iaitu badan pengawalseliaan yang diiktiraf oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO).

“Malah, program peringkat diploma di UniKL MIMET juga memenuhi keperluan Stan­dards of Training, Certification and Watchkeeping for Seafarer (STCW), IMO yang diiktiraf di seluruh dunia,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, UniKL MIMET mempunyai banyak kelebihan lain antaranya memiliki peralatan pembelajaran yang sama seperti di atas kapal selain tenaga pengajar yang berpengalaman.

“Di UniKL MIMET, kami menekankan aspek pembelajaran yang berasaskan praktikal. Malah, kemudahan pembelajaran juga mirip dengan suasana pekerjaan sebenar di industri kerana kami mempunyai limbungan kapal sendiri yang turut menjalankan aktiviti komersial,” katanya.

Beliau berkata, UniKL MIMET mempunyai bengkel-bengkel yang khusus untuk pengajaran dan pembelajaran praktikal berkaitan fabrikasi, perpaipan dan pemesi­nan, kejuruteraan marin, kerja kayu serta gentian kaca.

Selain itu katanya, institusi itu juga dilengkapi makmal khusus untuk bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik marin antaranya sistem set generator, sistem radar dan navigasi, sistem kemudi kapal serta simulator bilik enjin kapal.

Tambah beliau, graduan UniKL MIMET dalam program ini yang sudah mendapat kelayakan ETO antaranya Mohd. Fauzan Abdullah dan E. Inthiran Rao yang bergraduan daripada program Diploma Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektrikal Marin.

Turut mendapat kelayakan ter­sebut adalah Mohamad Fairuz Salihin Ab. Ghani yang merupakan graduan daripada Program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Kepujian) Elektrik dan Elektronik Marin.