Inovasi dijadikan teras untuk memacu Malaysia mencapai status negara maju kerana ia berkait rapat dengan pembaharuan, pe­nemuan, penciptaan dan penambahbaikan bukan sahaja dalam bidang reka cipta, malah meliputi semua bidang seperti pengurusan, pentadbiran, komunikasi, perindustrian dan sebagainya.

Kepentingan inovasi tidak ha­nya diaplikasikan dalam orga­ni­sasi, malah harus dilaksanakan di peringkat individu dan ini boleh diterapkan di institusi pendidikan bagi melahirkan masyarakat yang berinovasi serta kreatif.

Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang mengkhususkan pendidikan teknologi kejuruteraan kimia, Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Chemical and Bioengineering Technology (UniKL MICET) memfokuskan inovasi dalam setiap pembelajarannya, sekali gus menjadikannya sebagai antara universiti teknikal terkemuka di negara ini.

Sejajar dengan kemampuannya yang memiliki kemudahan peralatan lengkap dan terkini dalam bidang teknologi kejuruteraan kimia, UniKL MICET membuktikan kebolehannya apabila berjaya menghasilkan inovasi yang telah memenangi pelbagai anugerah dari dalam mahupun luar negara.

Secara tidak langsung, UniKL MICET telah berjaya melahirkan para graduan yang berkebolehan serta berinovasi dan lebih pen­ting menjadi rebutan para majikan bagi memenuhi kehendak industri.

Selama hampir 16 tahun mewarnai dunia pendidikan negara, UniKL MICET telah berjaya memenangi pelbagai pertandingan inovasi antaranya, International Invention, Innovation and Design Exposition 2015 (IIDEX 2015), iCompEx’14 dan International Innovation Festival (INNOFEST 2014).

Bagi 2018, kejayaan terbesar UniKL MICET adalah apabila berjaya meraih pengiktirafan dalam pertandingan inovasi terkemuka yang berlangsung di Geneva, Switzerland iaitu 46th International Exhibition Of Inventions Geneva.

Hasil bimbingan pensyarah yang juga penasihat projek, Mohd. Edyazuan Azni dan kerja keras pelajar-pelajar Diploma dan Ijazah Teknologi Kejurute­raan Kimia iaitu Puteri Nurdiana Asyiqin Ruslan, Muhammad Farhan Mohd. Fozi, Muhammad Adhwa’uthaqif Sapuan, Mohd. Izzudin Taib M. Deros, Nor Azlina Ramlee, Norrahim Abu Bakar dan Muhammad Hariz Hazwan Md. Isa telah mengharumkan nama UniKL MICET setelah berjaya meraih pingat emas (dengan kepujian juri) dan dua anugerah khas dari Universiti King Abdul Aziz, Arab Saudi dan World Intellectual Property Organization (WIPO).

Menurut Mohd. Edyazuan, pengiktirafan antarabangsa ber­kenaan diterima menerusi projek inovasi panel simen penebat daripada bahan buangan industri kelapa sawit yang juga merupakan produk penyelidikan terbaik di pameran tersebut.

“Inovasi yang dihasilkan ini mempunyai kelebihan tersendiri kerana ia direka lebih ringan daripada batu bata konvensional yang ada dalam pasaran selain mempunyai kebolehan untuk mengalirkan haba yang rendah serta lebih mesra alam.

“Produk ini sesuai digunakan untuk pembinaan bangunan dan boleh diaplikasikan menggunakan teknologi pembangunan berintegrasi untuk membina rumah biasa atau rumah pasang siap yang biasanya dibina bagi menggantikan rumah yang musnah akibat bencana alam,” jelasnya.

Tambahnya, kejayaan yang diperoleh bersama ahli pasukan itu adalah hasil sokongan penuh daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang menaja dan memberi peluang kepada mereka untuk menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.

“kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Pre­siden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd. Su’ud, Dekan UniKL MICET, Prof. Madya Dr. Ruzainah Ali dan pihak pengurusan yang banyak memberi galakan kepada pelajar dan kakita­ngan UniKL untuk menghasilkan serta memperkenalkan produk inovasi kepada pihak luar,” katanya.

Sementara itu, Puteri Nurdiana Asyiqin berkata, peluang untuk menyertai pertandingan di pe­ringkat antarabangsa seperti itu memberikan satu pengalaman berharga buatnya dan merupakan satu pencapaian peribadi terbaik yang dapat dibanggakan.

“Kami berharap agar kejayaan ini dapat menjadi inspirasi kepada semua pelajar khususnya dalam bidang teknologi kejurute­ra­an kimia agar berani menyahut cabaran dengan menghasilkan inovasi-inovasi yang lebih segar kerana inovasi adalah asas kepada sesebuah negara maju,” katanya.