Selaras dengan asas kewujudan universiti itu, ia turut mengambil tanggungjawab untuk membantu melahirkan lebih ramai anak bangsa yang dilengkapi sahsiah yang mampu berdaya saing dalam pasaran kerjaya dan kehidupan.

Salah sebuah sekolah yang terpilih dalam Program Jaringan UniKL ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mak Lagam di Kemaman, Terengganu iaitu sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan melalui hubungan yang terjalin sejak 2009.

Penyelaras Program Jaringan UniKL dan SMK Mak Lagam, Zuraidah Md. Noor berkata, tahun ini UniKL memperkenalkan program baharu yang diberi nama ‘League of Excellence’ (LEX) kepada pelajar-pelajar SMK Mak Lagam yang sebelum ini hanya dipraktikkan di peringkat universiti.

“LEX adalah satu program untuk mempertingkatkan ke­upayaan pelajar dalam bidang kemahiran berkomunikasi terutama dalam bahasa Inggeris, selain kemahiran peribadi, kemahiran berkaitan kepemimpinan, kemahiran membuat keputusan dan kemahiran menyelesaikan sebarang masalah.

“SMK Mak Lagam merupakan sekolah pertama dipilih menyertai program ini,” ujar Zuraidah yang juga merupakan Pensyarah Kanan UniKL Malaysian Spanish Institute (UniKL MSI) selepas majlis penutup program LEX dan Neuro Linguistic Programming (NLP) di sekolah itu, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengetua SMK Mak Lagam, Fatimah Haron; Pegawai Unit Pengiklanan dan Media Jabatan Pemasaran dan Kemasukan Pelajar UniKL, Mohd. Halmi Hassan dan Guru Bim­bingan dan Kaunseling SMK Mak Lagam, Wan Nasrah Wan Jaafar.

Seramai 166 pelajar tingkatan empat dan 80 pelajar tingkatan lima menyertai program dua hari itu yang dikendalikan oleh fasilitator terdiri daripada pensyarah dan mahasiswa UniKL MSI yang kesemuanya dalam bidang kejuruteraan.

“Sepanjang usahasama yang kami jalankan itu, khususnya di ne­geri ini, kira-kira 90 peratus pelajar menerima manfaat melanjutkan pengajian ke UniKL, Institusi Pendidikan Mara dan universiti-universiti lain,” ujar Zuraidah.

Menurutnya, mereka mendapat banyak tunjuk ajar daripada bengkel-bengkel yang dianjurkan seperti temuduga dan keyakinan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.

“Diharapkan sepanjang tahun ini lebih banyak sekolah dapat didedahkan dengan bengkel sebegini, dan pada masa depan, program ini mungkin dapat diadakan dalam tempoh yang lebih panjang,” ujarnya.