Hari ini institusi itu mengete­ngahkan pula kejayaan enam penyelidik muda universiti itu yang berjaya menghasilkan beberapa inovasi baharu yang boleh memberi impak besar.

Mereka ialah Prof. Madya Dr. Noraznawati Ismail, Prof. Madya Dr. Wan Mohd. Khairul Wan Mohamed Zin, Prof. Madya Dr. Lam Su Shiung, Dr. Wan Iryani Wan Ismail, Prof. Madya Dr. Zul Helmi Rozaini dan Dr. Nor Azman Kasan.

Dr. Noraznawati merupakan pensyarah merangkap Timbalan Pengarah Institute of Marine Biology (IMB) di UMT, manakala Dr. Wan Mohd. Khairul (pensyarah Pusat Pengajian Sains Asas), Dr. Lam (Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan), Dr. Wan Iryani (pensyarah kanan PPSA), Dr. Zul Helmi (pensyarah di IMB) dan Dr. Nor Azman (pensyarah Institut Akuakultur Tropika).

Kesemua mereka menge­tuai kumpulan masing-masing dalam penyelidikan sebagai tanda so­kongan UMT terhadap saranan Kementerian Pendidikan Tinggi yang meng­ga­lakkan proses pemindahan ilmu menerusi projek berkelas translasional.

Dr. Noraznawati berjaya meng­hasilkan sejenis alat pengesan Endotoxin pantas atau Tal Kit yang terhasil daripada penyelidikan ke atas darah belangkas.

Bahan itu digunakan bagi mengesan kehadiran pencemaran endotoksin dalam ubat-ubatan (drugs) dan alatan untuk suntikan dan dimasukkan ke dalam badan manusia bagi mengesan ketulenan ubatan untuk diagnosis pantas.

Tal Kit itu pula secara rasminya telah dipatenkan pada November 2015 serta memperoleh Hak Cipta rasmi pada Januari 2012.

Dalam sidang akhbar me­ng­umumkan kejayaan mereka di UMT dekat sini hari ini, Dr. Noraznawati berkata, produk yang dihasilkan itu dijangka berada di pasaran tempatan pada tahun depan sebelum diperluaskan ke pasaran luar negara.

“Untuk pasaran di Malaysia, kita perlukan antara setahun hingga dua tahun dan sekiranya mendapat sambutan, kita akan pasarkan ke rantau Asia seperti Brunei, Thailand, Singapura serta Jepun dan seterusnya ke pe­ringkat global,” katanya.

Dalam majlis itu, lima lagi penyelidik turut mempamerkan produk yang berjaya mereka hasilkan daripada penyelidikan yang mereka jalankan.

Dr. Wan Mohd. Khairul pula menghasilkan produk Na­nove­sicles iaitu teknologi pe­nyerapan pantas Nanoteknologi bagi penggunaan dan rawatan kosmeseutikal.

Dr. Lam dengan produk Pyro Fuel iaitu biobahan api daripada gelombang micro pyrolysis daripada sisa biojisim (biomass) yang fungsinya antara lain sebagai bahan bakar, boiler, penjanaan tenaga atau enjin kenderaan.

Sementara itu, Dr. Wan Iryani menghasilkan produk Marno atau Marine Nanoparticle Reducing Agent from Malaysia Shore yang merupakan bahan penurun yang dihasilkan daripada hidupan laut iaitu umpun-umpun ataupun polycheate.

Dr. Zul Helmi pula menghasilkan produk BF Nano Vesicles yang menjurus kepada teknologi bahan penyerapan pantas nanoteknologi bagi penggunaan dan rawatan kulit kosmeseutikal.

Manakala Dr. Nor Azman de­ngan produk Rapid Biofloc iaitu teknologi hijau bagi pe­ngurusan udang dalam industri akuakutur.