Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, pencapaian Gred Purata Murid (GPM) pada tahun lalu mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan oleh Majlis Pembangunan ECER (ECERDC).

“Dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016, GPM meningkat kepada 74 peratus, melebihi KPI yang ditetapkan iaitu 55 peratus manakala pencapaian GPM Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) mencatatkan 95 peratus berbanding KPI 40 peratus.

“Bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan pada bulan lepas, peratusan pelajar yang menunjukkan peningkatan dalam GPM adalah 97 peratus berbanding KPI yang ditetapkan iaitu 70 peratus,” ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap dalam Majlis Pe­rasmian Program Empower ECER Setiu 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ibrahim di sini semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan & Perumahan negeri, Datuk Mohd. Jidin Shafee menyempurnakan upacara peras­mian serentak dengan Majlis Penyampaian Anugerah Juara Empower ECER Setiu dan Akuapolitan Kuala Nerus 2106.

Seramai 73 pelajar cemerlang UPSR, PT3 dan SPM 2016 diraikan sebagai penghargaan kepada pelajar berkenaan dan ibu bapa mereka serta warga pendidik.

Pada tahun 2016, UMT telah membantu 900 pelajar daripada 24 buah sekolah rendah dan sekolah menengah dari daerah Besut, Setiu dan Akuapolitan Kuala Nerus yang mengikuti program berkenaan.

Beliau yakin peningkatan pencapaian adalah impak daripada keberkesanan modul serta kan­dungan program berkenaan yang menitikberatkan keseimbangan latih tubi dan sahsiah pelajar di samping penglibatan ibu bapa dan guru-guru menerusi pelbagai aktiviti yang telah dijalankan.

Menurut Dr. Aieni, Program Empower ECER Latihan Akademik dilaksanakan untuk pertama kali pada tahun lalu menyaksikan UMT berjaya menghabiskan 150 jam pelaksanaan program yang melibatkan tiga pendekatan iaitu pengukuhan akademik, sahsiah pelajar dan program bersama ibu bapa dan guru.