Universiti yang menjadi kebanggaan negeri Sabah itu terus mencipta kejayaan demi kejayaan selain memberi kejutan melalui lakaran sejarah dan kecemerlangan warganya demi kelangsungan sistem pendidikan negara.

Terbaharu, seluruh rakyat negeri itu melahirkan rasa bangga apabila peruntukan sebanyak RM700 juta telah diluluskan Kerajaan Persekutuan bagi membiayai projek pembinaan sebuah Hospital Pengajar di UMS yang dijangka memulakan operasi pembinaan pada Januari tahun depan.

Pemangku Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Prof. Dr. Zainal Arifin Mustapha berkata, kewujudan hospital itu yang memuatkan 400 buah katil beserta pelbagai peralatan perubatan lengkap dan canggih kelak bakal memberi nilai tambah kepada bidang perubatan di negeri ini.

Menurutnya, peranan hospital itu bukan sahaja melatih para penuntut menjadi doktor perubatan am tetapi fokus utama kepada melahirkan doktor-doktor pakar yang mampu merawat penyakit tertentu secara spesifik.

“Umum mengetahui, jumlah doktor pakar yang terdapat di negeri ini belum mencukupi dan rawatan terhadap penyakit kronik masih memerlukan khidmat daripada pakar yang berpusat di hospital di Semenanjung. Malah, keberadaan mereka untuk berkhidmat juga terhad memandangkan khidmat mereka di hospital asal amat diperlukan.

“Sehubungan itu, kewujudan hospital ini di UMS kelak akan memberi nilai tambah dalam melahirkan lebih ramai doktor dan doktor pakar, selain satu berita baik yang menggembirakan buat penduduk Sabah,” katanya kepada .com sempena Majlis Konvokesyen UMS ke-17 di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Menyentuh mengenai persamaan, Dr. Zainal Arifin berkata, hospital itu turut dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan canggih seperti dewan bedah, makmal, kelengkapan radiologi, pengimejan dan diagnosis serta fasiliti lain.

Tambah beliau, dengan penggunaan peralatan canggih tersebut, pihaknya yakin hospital itu akan menjadi pusat rujukan selain membantu klinik dan hospital-hospital lain dalam menyelesaikan masalah berhubung sesuatu penyakit.

“Sebagai contoh, sekiranya terdapat kes melibatkan pesakit yang memerlukan rawatan lanjut dari pakar, klinik atau sesuatu hospital, pesakit boleh merujuk ke Hospital Pembelajaran UMS untuk rawatan serta tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Zainal Arifin memberitahu, hospital itu juga berfungsi dalam membuat penyelidikan terhadap pelbagai penyakit, selain mengkaji teknik rawatan terbaik dalam mencegah dan mengubati sesuatu penyakit.

Tambah beliau, peranan hospital itu juga dikembangkan apabila perkhidmatan ditawarkan bukan sahaja dinikmati oleh masyarakat negeri ini tetapi para pelancong yang sedang menikmati percutian di Sabah.

“Hospital ini menyediakan perkhidmatan rawatan pesakit luar kepada orang awam yang mana mereka mempunyai akses untuk mendapatkan rawatan penyakit biasa atau sebarang bentuk kecederaan dan luka-luka kecil.

“Pada masa sama, kita juga menyediakan rawatan dalam wad bagi pesakit yang memerlukan rawatan lanjut, sekali gus menyamai fungsi hospital sedia ada,” katanya.

Dr. Zainal Arifin menambah, UMS tidak akan meminggirkan peranan dan tanggungjawab dalam meningkatkan ilmu perubatan dan kesihatan kepada masyarakat.

Sehubungan itu, kata beliau, program pendidikan kesihatan akan menjadi antara agenda utama bagi mendidik masyarakat tempatan untuk terus membudayakan amalan gaya hidup sihat melalui penganjuran kempen dan promosi dalam pelbagai saluran media.

“Lebih menggembirakan apabila pembukaan hospital ini kelak akan menyediakan pelbagai peluang pekerjaan di negeri ini, khususnya berkaitan bidang perubatan seperti jururawat, fisioterapi, juru x-ray, jururadiografi, pembantu makmal dan pelbagai lagi jawatan 
lain,” katanya.