Umpamanya, kejayaan hasil inovasi UMP yang memenangi Anugerah Inovasi Negara bagi kategori produk pada ekspo Inovasi dan Ekonomi Kreatif Kebangsaan (NICE) 2017 baru-baru ini, membuktikan penyelidikan universiti tersebut diiktiraf sebagai antara yang terbaik.

Kejayaan itu diperoleh menerusi produk ‘Pisoptera’ yang bertek­nologi hijau pertama di negara ini yang mesra alam dan sesuai digunakan dalam masalah berkaitan dengan serangan anai-anai.

Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, universiti tersebut sentiasa komi­ted untuk menyempurnakan pe­ranan dan tanggungjawab sosialnya secara terarah selaras dengan agenda Memasyarakatkan Teknologi yang menjadi dasar pelaksanaan Pelan Strategik UMP 2016-2020.

Kata beliau, usaha itu adalah bagi membangunkan potensi dan daya saing universiti berkenaan dengan membawa ilmu penge­tahuan serta teknologi kepada masyarakat.

“Kejayaan yang diraih menyuntik semangat warga UMP untuk terus menyokong dan memperkasakan pengkomersialan teknologi di universiti ini dengan menghasilkan produk serta teknologi yang berpotensi untuk dimanfaatkan umum,” katanya di sini hari ini.

Daing Nasir memberikan contoh penghasilan produk seperti Pisoptera yang mana masyarakat dapat mengatasi masalah bua­ngan sisa tidak terkawal di sam­ping mendapat pulangan dalam bentuk kewangan.

“Masalah bahan buangan tandan kelapa sawit kosong dimanfaatkan menerusi teknologi Pisoptera yang mana bahan bua­ngan berkenaan ditukar kepada bahan kawalan anai–anai bernilai tinggi,” ujarnya.

Tambah beliau, sebagai galakan dan rangsangan kepada ekosistem penyelidikan dan inovasi, UMP memperkenalkan dana khas iaitu UMP-Community Technology Solution Platform Grant yang membantu menyediakan penyelesaian kepada keperluan komuniti serta industri melalui pendekatan teknologi.

Katanya, ia termasuk kepakaran kejuruteraan, saintifik dan teknologi dimiliki UMP yang berkait rapat dengan isu-isu pa­ling pokok di peringkat masyarakat akar umbi seperti keperluan tenaga elektrik, bekalan air bersih serta penggunaan bahan bakar.

Selain itu, kata beliau, terdapat produk-produk lain dibangunkan UMP yang memberi manfaat kepada masyarakat seperti Phytogreen, Base Oil, DiaClean, G-Brick dan Wasra.

“UMP turut menang 100 peratus apabila dianugerahkan enam pingat emas, dua pingat perak dan tujuh gangsa pada Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (Pecipta) 2017 di Terengganu baru-baru ini,” katanya.