Daing Nasir: UMP akan memberi fokus kepada Inovasi Nilai 4.0 yang bermatlamat memperkasa universiti dan pada masa sama membawa misi dalam menjayakan agenda Pelan Strategik UMP 2016-2020.

Usaha itu melibatkan aspek pengajaran dan pembelajaran termasuk memperkasa bidang penyelidikan industri, kejuruteraan baharu dan inovasi tinggi. Tumpuan melibatkan tiga perkara iaitu:

l Menawarkan penyelesaian masalah dalam industri.

l Mentafsir semula dan menyelesaikan masalah industri sedia ada.

l Mengenal pasti dan menyelesaikan masalah baharu atau meneroka peluang baharu.

Inovasi dan kajian penyelidikan yang dijalankan UMP itu melibatkan bidang kemanusiaan, kesejagatan, kemasyarakatan dan berimpak tinggi yang mampu melonjak transformasi ekonomi negara.

Apakah lima lonjakan strategik UMP yang diberi perhatian?

Bertepatan dengan usaha dan tema universiti iaitu Kegemilangan UMP, universiti akan terus memperkasa Pelan Strategik UMP 2016-2020. UMP memberi tumpuan kepada lima lonjakan strategi dalam menjayakan pelan tersebut iaitu:

l Keunggulan akademik.

l Kelestarian kewangan.

l Keunggulan penyelidikan dan inovasi.

l Kemapanan sosioekonomi dan persekitaran.

l Keunggulan jenama.

Untuk menjayakan lima lonjakan itu, UMP akan membangunkan kurikulum akademik secara inovatif dengan penglibatan kakitangan pengurusan profesional universiti agar ia dapat memenuhi keperluan pelajar dan masyarakat.

Penekanan itu melibatkan pendidikan secara fleksibel Pengajaran dan Pembelajaran 4.0 iaitu melibatkan peranan industri serta implikasi kepada manusia.

Sejauh mana peranan UMP dalam melahirkan siswazah yang kompetitif?

Untuk melahirkan siswazah UMP yang kompetitif, UMP membangunkan inovasi akademik melalui jalinan kerjasama strategik antarabangsa.

Antaranya UMP memperluas dan menambah baik silibus kursus kejuruteraan melalui program kerjasama dwiijazah Kejuruteraan Mekatronik dan Kejuruteraan Automotif dengan Karlsruhe University of Applied Science (HsKA) dari Jerman termasuk program kerjasama dwiijazah Kejuruteraan Perniagaan dari Reutlingen University Jerman dan program dwiijazah Kejuruteraan Teknologi dari Northern Illinois University (NIU).

Dengan kerjasama antarabangsa itu UMP dapat melahirkan siswazah berdaya saing dan glokal.

Selain itu, UMP turut bekerjasama baik dengan pemain industri dalam melahirkan lulusan holistik, berdaya usahawan dan seimbang.

Ini dibuktikan apabila pada tahun lalu UMP mencapai 94.6 peratus dalam melonjakkan kebolehpasaran siswazah.

Apakah inisiatif kerjasama strategik UMP pada masa depan?

Pada masa ini UMP telah dilantik sebagai Universiti Fokal bagi Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI-ECRL) dengan kerjasama Syarikat Malaysian Rail Link (MRL) dan syarikat China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. (CCCC) dalam bidang pengangkutan kereta api.

Selain itu, UMP juga meneroka prospek industri gelatin halal dengan penglibatan kerjasama sektor awam dan swasta.

Potensi besar projek gelatin halal itu mempunyai nilai komersial dan keusahawanan yang merupakan bidang yang diutamakan UMP.

Kerjasama itu melibatkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Dalam bidang teknologi pula, UMP menjadi universiti pertama Malaysia yang menggunakan teknologi blockchain bagi kemudahan bakal majikan untuk mengesan siswazah palsu yang menggunakan sijil atau ijazah dianugerahkan universiti itu menerusi aplikasi UMP Valid8.

Manakala Mobile Wallet–UMP XChain atau Dompet Mudah Alih pula ia merupakan aplikasi yang membolehkan pelajar dan kakitangan universiti membuat pembayaran di kafeteria dan kedai-kedai dengan menggunakan telefon pintar sebagai medium bagi menjalankan proses transaksi pembayaran.

Pada masa sama, UMP turut membangunkan Aplikasi Pengesanan Sumber dan Logistik Penghasilan Produk Halal.

Universiti berkerjasama dengan Technical University of Munich (TUM) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bagi membangunkan program Asia Centre of Excellence for Smart Technology (ACEST) yang menyediakan perkhidmatan penyelesaian tahap tinggi Revolusi Industri 4.0 di ASEAN.

Turut berusaha meningkatkan dana universiti melalui pelaburan baharu bagi mewujudkan persekitaran yang dapat menyokong kelestarian universiti. Tumpuan lain adalah melaksanakan inisiatif strategik UMP iaitu Kilang Pengajaran, Projek Gelatin Halal dan Taman Bioaromatik di Luit, Pahang.

Bagaimana peranan UMP dalam memasyarakatkan teknologi?

Dalam merealisasikan agenda Pelan Strategik UMP iaitu memasyarakatkan teknologi, UMP akan menggembleng bakat-bakat yang ada di universiti bagi memastikan kepakaran teknologi itu dilaksanakan bersama komuniti.

Begitu juga dalam memperkasa bidang inovasi sosial, UMP akan mempergiat usaha melalui program kemasyarakatan Facelift D’ Kuala iaitu program bagi mengubah identiti Kuala Pahang sebagai perkampungan nelayan baharu.

Menyedari peranan dan tanggungjawab sebagai universiti ilmu, UMP merancang menjalankan banyak program latihan kemahiran modal insan dalam kalangan belia dan komuniti.

Program itu diadakan dengan kerjasama ECERDC dan UMP Advanced sebagai peneraju program Empower ECER yang menyasarkan peningkatan kemahiran dan pendapatan serta membantu meningkatkat taraf kehidupan masyarakat luar bandar.

Universiti Malaysia Pahang (UMP) terus memperkasa bidang pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan setaraf antarabangsa dalam ekosistem kejuruteraan teknologi kreatif dan inovatif pada masa depan.

Agensi Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) memberi pengiktirafan lima bintang bagi program penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan UMP sehingga melonjak kecemerlangan universiti itu antara terbaik negara.

Kecemerlangan itu terus dilakar melalui pencapaian Lima Bintang Sistem Penarafan Universiti dan Kolej Universiti (Setara) 2017. Lima Bintang Penarafan Pengumpulan Data Kementerian Pendidikan Tinggi (MyMohes) 2017 dan Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan dengan Lima Bintang berdasarkan Indeks Akauntabiliti Jabatan Audit Negara 2016.

Wartawan Utusan Malaysia, Mohd. Saiful Mohd. Sahak menemu ramah Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Seri Dr. Daing Nasir Ibrahim bagi mengupas pandangannya mengenai kejayaan yang diterima oleh UMP termasuk iltizam dalam menjayakan misi Inovasi Nilai 4.0 UMP.

MUKADIMAH