Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMK, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Che Omar berkata, dana untuk tempoh 10 tahun itu akan digunakan sebaik mungkin untuk projek-projek yang memberikan manfaat dalam bidang keusahawanan.

“Sebanyak 11 projek telah dirancang oleh pihak kami dan tujuh daripadanya akan dilancarkan pada minggu penyelidikan dan inovasi bermula 24 hingga 26 Oktober ini di UMK Jeli.

“Antara contoh inovasi yang akan dihasilkan dalam tempoh masa terdekat ialah projek Ikan Patin Jeli. Pihak kami akan cuba menghasilkan Ikan Patin Jeli yang memiliki rasa dan kualiti tersendiri berbeza dengan ikan patin dari Temerloh yang memang dikenali ramai.

“Pihak UMK akan mengunakan dana ini dengan sebaik mungkin untuk inovasi dalam menghasilkan produk yang bukan sahaja mempunyai nilai malah dapat dikomersialkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangi surat sumbangan antara UMK dengan Yayasan Muhibah Tan Sri Fng Ah Seng di sini hari ini.

Yang turut hadir, Dekan Fakulti Senibina dan Ekistik, Prof. Madya Ab Aziz Shuaib.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Muhibah, Tan Sri Prof. Dr. Fng Ah Seng berkata, yayasan tersebut telah ditubuhkan sejak lima tahun lalu dan menjalankan tanggunjawab korporat sosial tanpa mengira kaum, agama dan umur.

“Yayasan kami lebih menfokuskan untuk membantu bidang perubatan dan keusahawanan di peringkat pendidikan. Ini sejajar dengan saranan kerajaan supaya pihak korporat turut sama membantu pendidikan negara,” ujarnya.