Dengan pencapaian membanggakan itu, UMCCed telah diberi kepercayaan oleh pelbagai institusi termasuk sektor kerajaan dan swasta untuk melatih kakitangan mereka dalam pelbagai bidang, sama ada pada peringkat pensijilan mahupun diploma eksekutif.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya (UM), Tan Sri Prof. Dr. Zakri Abdul Hamid dalam ucapannya pada majlis konvokesyen itu turut memuji para majikan yang sentiasa berusaha meningkatkan kompetensi sumber manusia dan berharap agar inisiatif itu akan terus dijadikan budaya bagi memberi manfaat terutama dalam pembangunan organisasi dan negara secara keseluruhannya.

Menurut beliau, keberke­sanan program-program yang ditawar­kan UMCCed sememangnya sentiasa dipantau melalui Kajian Pengesanan Graduan yang dijalankan setiap tahun.

Jelasnya, berdasarkan kaji selidik ke atas graduan diploma eksekutif yang dijalankan pada konvokesyen lalu, hampir keseluruhan graduan telah pun memperoleh pelbagai manfaat dalam tempoh singkat selepas menamatkan pengajian mereka, merangkumi kenaikan gaji dan pangkat, selain melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi sama ada di universiti awam mahupun swasta.

“Apa yang lebih penting, hampir keseluruhan graduan atau le­bih 90 peratus peserta bersetuju bahawa ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh semasa pengajian telah dapat digunakan untuk meningkatkan kompetensi kerja masing-masing,” katanya.

Dr. Zakri berkata, perubahan teknologi yang begitu pantas pada hari ini juga telah mengubah landskap pendidikan global. Malaysia sebagai salah sebuah negara membangun pasti turut menerima kesan daripada ledakan teknologi itu, khususnya dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran.

Selaras dengan perkembangan itu, UM telah melaksanakan transformasi secara berperingkat-peringkat melalui pengenalan kaedah pembelajaran secara atas talian, pengajian jarak jauh serta penawaran kursus-kursus universiti melalui penyertaan dalam inisiatif Massive Open Online Courses (MOOCs).

Semua kaedah tersebut bertujuan memenuhi keperluan masyarakat khususnya mereka yang bekerja supaya dapat turut serta dalam program-program Pendidikan Sepanjang Hayat (PSH) yang ditawarkan.

“Harapan saya agar semua graduan akan kembali semula ke UMCCed bagi mengikuti program-program latihan yang ditawarkan,” kata Dr. Zakri.

Dr. Zakri juga berharap ma­syarakat akan berterusan me­ningkatkan ilmu pengetahuan ke peringkat tertinggi supaya negara tidak kekurangan para ilmuan yang dapat menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.

Dalam pada itu, Pengarah UMCCed, Prof. Datuk Dr. Mansor Md. Isa berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi dalam merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), telah meletakkan Pembudayaan PSH sebagai salah satu strategi dalam proses transformasi pendidikan tinggi di negara ini.

Katanya, sejajar dengan hasrat kerajaan membentuk generasi yang berilmu dan berdaya saing, UMCCed menjadi satu medium terbaik dalam penawaran program-program pengajian yang berkualiti serta berprestij terutama untuk meningkatkan prestasi individu dalam bidang pekerjaan.

Beliau berkata, ramai graduan UMCCed yang telah berjaya mencapai impian hidup mereka sama ada dalam peningkatan kerjaya dengan memperoleh jawatan yang lebih baik dan tidak kurang juga ada yang telah pun menamatkan pengajian hingga ke peringkat Doktor Falsafah dan kini bergelar pensyarah.

Pada majlis konvokesyen tersebut, dua orang graduan terbaik terpilih sebagai penerima Anugerah Naib Canselor iaitu Yusri Adam daripada program Diploma Eksekutif Pengurusan Perniagaan dan Lum Mingsheng daripada program Diploma Pe­ngurusan.

-INFO-

SESIAPA yang berminat untuk mengikuti mana-mana program yang ditawarkan boleh melayari laman web UMCCed di www.umcced.edu.my atau laman sosial Facebook/ Twitter/Instagram. Untuk maklumat lanjut, hubungi pegawai UMCCed di talian 
03-2246 3600 atau melalui emel ke [email protected]