Universiti Malaya memenangi emas untuk Video Institusi Korporat Paling Kreatif, manakala Universiti Teknologi Mara (UiTM) meraih gangsa untuk Iklan Cetak Antarabangsa Terbaik.

Kedua-dua anugerah itu adalah antara lima kategori Anugerah Kreatif yang dipertandingkan, iaitu Laman Web Antarabangsa Terbaik, Reka Bentuk Ruang Pameran Terbaik dan Brosur Pengambilan Pelajar Antarabangsa Terbaik.

Kesemua kategori anugerah berkenaan disampaikan oleh Naib Presiden Hubungan dan Hal Ehwal Korporat ,Universiti Teknologi Kreatif Lim Kok Wing (LUCT), Datuk Fajura Juffa Mohd Mustafa Kamal.

Fajura Juffa berkata Anugerah Kreatif QS-Apple diperkenalkan bagi mengiktiraf kepentingan reka bentuk yang kreatif dan menarik dalam komunikasi dan pembinaan jenama yang berkesan.

"Sebagai juri pertandingan, kita juga mempunyai matlamat untuk menggalakkan kreativiti dan inovatif dalam kalangan pelajar universiti melalui acara antarabangsa yang berprestij," katanya kepada pemberita Malaysia selepas majlis penyampaian anugerah berkenaan di Asia University di sini, hari ini.

Beliau berkata pertandingan itu terbuka kepada semua institusi yang terlibat dalam QS-APPLE ke-13, yang berlangsung dari 22 hingga 24 November.

"Setiap kategori mempunyai enam pencalonan daripada universiti berlainan dengan tiga daripadanya akan dipilih sebagai pemenang," katanya.

Persidangan dan Pameran QS-APPLE ke-13, yang dihoskan bersama oleh China Medical University dan Asia University di Taichung, Taiwan, turut menampilkan 'QS Squared Debates', selain bengkel QS Ranking, perbincangan panel dan sesi yang berkaitan dalam konteks Asia.

Persidangan itu juga menyediakan pelbagai peluang rangkaian dalam membantu institusi akademik mewujudkan hubungan baharu dan perkongsian dengan institusi di seluruh dunia.

QS Asia adalah anak syarikat serantau QS, yang mengeluarkan 'QS World University Rankings' serta ranking serantau dan subjek. - BERNAMA