Yang Dipertuan Besar Ne­geri Sembilan, Tuanku Mukhriz Tuanku Munawir bertitah, UKM mempunyai misi penubuhan yang berkait rapat dengan pembentukan dan pengukuhan jati diri kebangsaan yang berasaskan budaya, bahasa dan nilai unggul peradaban.

“Pelbagai pencapaian dan kejayaan yang diperoleh menjadikan UKM sebagai pusat rujukan dalam pelbagai bidang ilmu dan secara tidak langsung memudahkan UKM mendapat geran penyelidikan, meningkatkan jaringan kerjasama akademik dan memastikan kualiti yang tinggi dalam semua aktiviti.

“Walau bagaimanapun, UKM tidak pernah melupakan amanah yang diberikan oleh rakyat kepada universiti iaitu untuk mendaulatkan kedudukan bahasa Malaysia,” titah baginda dalam Majlis Konvokesyen UKM Ke-45, di sini hari ini.

Sebanyak 7,972 graduan me­nerima ijazah dan diploma dalam majlis konvokesyen itu yang akan berlangsung empat hari bermula hari ini di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, UKM dekat sini.

Dalam pada itu, Tuanku Muhriz yang juga merupakan Canselor UKM turut menyeru warga UKM mempergiatkan penglibatan di arena antarabangsa dalam menjuarai persoalan dan pergolakan dunia kerana universiti itu mempunyai pelbagai kepakaran berkaitan.

“Dalam masa yang sama, fokus juga perlu diberikan kepada persoalan tempatan yang berlegar dalam kehidupan masyarakat dan negara hari ini.

“Isu keruntuhan moral, pengangguran, keciciran pendidikan, ekonomi, sosial, pencemaran alam sekitar, perpaduan dan integriti adalah persoalan bersifat kebangsaan yang masih berlegar dan pasti memerlukan sumbangan para intelektual UKM,” titah baginda.

Sementara itu, Tuanku Mukhriz turut menzahirkan rasa bangga kerana UKM terus berjaya meningkatkan jumlah graduan pasca siswazah.

“Peningkatan ini adalah satu pendekatan strategik dalam menyemarakkan penyelidikan selaras dengan status UKM sebagai sebuah universiti penyelidikan.

“UKM berjaya meningkatkan daya inovasi negara berasaskan penyelidikan yang memberi impak secara langsung dalam pro­ses pembangunan masyarakat dan negara selaras dengan hasrat untuk memasyarakatkan penyelidikan yang dijalankan,” titah baginda.