Dalam pertandingan itu, negara yang diwakili UiTM Chamber Choir (UCC) berjaya membawa pulang tiga hadiah utama iaitu juara koir kategori wanita, juara kategori campuran dan juara keseluruhan.

Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said berkata, kejayaan tersebut membuktikan peserta dari benua Asia bukan sahaja mampu bersaing tetapi memiliki kualiti untuk mengalahkan mana-mana negara termasuk Eropah.

"Kejayaan pasukan UCC amat membanggakan UiTM, memandangkan mereka berjaya mengalahkan 49 pasukan dari 14 negara yang hebat di dalam persembahan koir di peringkat dunia.

"Antara pencabar terdekat pasukan UCC adalah dari negara Eropah iaitu Sweden yang kualiti suaranya agak baik," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas meraikan pasukan UCC di Bangunan Canselori di sini hari ini.

Yang turut hadir Dekan Fakulti Muzik UiTM, Prof. Madya Dr. Ramona Mohd. Tahir, Konduktor Koir, Dr. Masashi Kishimoto dan Pengarah Korporat UiTM, Alfina Abu Bakar.

Sementara itu menurut Masashi, bukan suatu perkara yang mudah untuk membentuk pasukan koir UiTM kerana ia melibatkan masa yang panjang untuk memilih anggota UCC selain perlu mencari lagu yang sesuai.

"Untuk memilih satu lagu yang kami nyanyikan sahaja mengambil masa enam bulan.

"Pemilihan ahli UCC juga rumit kerana terdapat ramai yang berbakat untuk dipilih namun kita cuma memilih yang terbaik untuk menyanyikan rangkap tenor dan soprano," katanya. - UTUSAN ONLINE