Pengisian syarahan dan soal jawab antaranya adalah mengenai sejarah penyatuan mencakupi Kemerdekaan 1957, Perlembagaan Negara, prinsip Rukun Negara dan kedudukan serta keistimewaan orang Melayu serta peranan kaum.

Dua ahli panel diundang khas merupakan bekas Pengarah Biro Tatanegara (BTN) Terengganu dan Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Tengku, Datuk Mustapa Long dan Penolong Pengarah Kanan BTN Putrajaya, Haslizar Rozally.

Yang hadir sama, iaitu Penolong Rektor UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub, Dr Khairi Khalid; Ketua Pusat Pengajian Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Perakaunan dan Undang-undang UiTM, Che Hamdan Che Mohd Razali; Ketua Pusat Pengajian Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Rozain Daud dan Ketua Program Bicara Tokoh, Ramha Rozalli Ramli.

Moderator Forum Bicara Tokoh, Muhammad Iman Norhizam berkata, forum bersifat ilmiah itu sempena sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia untuk menjana pengetahuan dan menyerap jati diri dalam kalangan penuntut di situ.

“Forum ini bagi membuka minda penuntut apabila kedua orang ahli panel mampu menjawab soalan serta mengupas perkara mengenai sejarah kemerdekaan, perlembagaan dan politik dengan jelas dan tepat.

“Program akademik ini memang sesuai pada masanya kerana dapat menitip semangat patriotisme, soli­dariti serta cintakan negara dalam kalangan penuntut yang juga terlibat dengan disiplin bidang pengajian Sains Pentadbiran, Sains Polisi, Perakaunan dan undang-undang,” katanya di sini baru-baru ini.

Sementara itu, ahli panel, Mus­tapa Long berkata, rentetan peristiwa sebelum dan pasca merdeka merupakan intipati perjuangan negarawan bangsa yang dinamik dan tulen perlu dihayati oleh penuntut dan generasi hari ini amnya.

“Kemerdekaan dilakarkan menerusi kebijaksanaan pemimpin terdahulu berdepan dengan penjajah. Mereka ini yang jugalah negarawan yang mengenepikan ego dan kepentingan peribadi kaum masing-masing demi untuk mencapai cita-cita bersama.

“Sebagai pemimpin pelbagai peringkat usia, bidang dan orga­nisasi perjuangan tokoh kemerdekaan terdahulu wajarlah disan­jungi dan diteladani dalam usaha mencorak masa depan negara,” katanya di majlis forum berke­naan.

Rakan panel, Haslizar juga mengingatkan penuntut berkenaan supaya menghargai perjua­ngan tokoh yang lepas dan menghargai nilai kemerdekaan negara.